Thursday, October 4, 2012

RM29.5 juta bantu usahawan

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121003/wt_03/RM295-juta-bantu-usahawan

Published: October 04, 2012
Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 2 Okt. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) meluluskan peruntukan berjumlah RM29.5 juta sehingga Ogos lalu untuk membantu usahawan bumiputera di Kelantan memajukan perniagaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, peruntukan itu membabitkan pembiayaan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike); Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP) dan Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM).
Beliau berkata, kelulusan itu melebihi sasaran peruntukan awal sebanyak RM29 juta bagi membiayai skim-skim tersebut.

"Ini bermakna, Mara Kelantan telah mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dan mungkin kita akan mengkaji sekiranya ada keperluan menambah peruntukan supaya usahawan di negeri ini dapat memajukan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Mara Kelantan 2012 di sebuah hotel di sini, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Rosdi Ismail.
Pada majlis itu, Hasan turut menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Mara Negeri Kelantan 2012 yang diterima Che Sufian Che Hussain.

Hasan turut melancarkan laman web mymarket2u.com, portal pengumpulan dan promosi produk usahawan secara maya yang akan diperluaskan ke seluruh negara.
Selain itu, beliau turut menyampaikan Surat Tawaran Program Latihan Pembentukan Usahawan kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Koleh Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu.
Menurut Hasan, Mara menjalankan banyak program mewujudkan peluang-peluang perniagaan di peringkat menengah, antaranya The Baron; Program Peruncitan; Program Smart Auto dan Kedai Hardware yang boleh dimanfaatkan usahawan bumiputera.

Beliau berkata, Mara Kelantan sebagai contoh berjaya menganjurkan beberapa program melibatkan kumpulan sasar berpendapatan rendah seperti Program Rangkaian Niaga Mara; Program Usahawan Bistari Ayamas; Usahawan Mara-Olala; Inkubator Teknikal Mara; Program Khas Kraf Seramik untuk orang kurang upaya (OKU) dan Program Usahawan Kraf Kreatif.
"Program-program ini telah memberi manfaat kepada 191 usahawan dengan pembiayaan sejumlah RM1.5 juta.

"Program ini tidak termasuk Program Usahawan Kecil Dinamik yang turut mempunyai hasrat dan matlamat sama," katanya.
Menurut Hasan, program keusahawanan merupakan mekanisme terbaik membasmi kemiskinan di negeri ini dan negara amnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri ini boleh dimanfaatkan bagi melahirkan usahawan-usahawan baharu melalui usaha bersepadu melibatkan institusi pendidikan tinggi dan Mara.

No comments: