Monday, October 15, 2012

Presma bantu restoran berkembang pesat

KUALA LUMPUR: Pada 1994, hanya terdapat 40 restoran India Muslim di seluruh negara, tetapi kini jumlahnya meningkat kepada 2,950 pemilik yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Presmabanturestoranberkembangpesat/Article/index_html
Published: October 15, 2012


Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, idea asal penubuhan persatuan itu ditimbulkan empat peniaga restoran mamak selepas berdepan pelbagai cabaran dan masalah menyebabkan mereka perlu berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.

Dari situ, katanya wujud idea menubuhkan sebuah persatuan pada 1992 untuk menyatukan semua pengusaha restoran mamak di bawah satu bumbung supaya segala masalah yang timbul dapat diselesaikan secara sepakat. Menurut beliau, antara masalah dihadapi ketika itu berkaitan isu dengan Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Akhirnya, Presma ditubuhkan pada Mac 1994 dengan keahlian ketika itu seramai 40 orang yang mewakili 40 kedai mamak sekitar Lembah Klang.

“Ketika itu, kedai India Muslim diusahakan sebagai perniagaan keluarga kerana pemilik dan pekerjanya terdiri di kalangan ahli keluarga saja,” katanya. ketika ditemui di Wisma Presma di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, menyedari industri makanan satu keperluan dan menjadi perniagaan paling utama dalam ekonomi sesebuah negara, restoran mamak akhirnya terus berkembang pesat.

Hari ini, katanya, industri restoran mamak mampu menjana ekonomi RM8 bilion setahun berdasarkan kajian terhadap lebih 7,500 restoran milik India Muslim di seluruh negara termasuk pengusaha yang tidak menjadi ahli Presma.

“Bagaimanapun, apa yang dikecapi hari ini bukan mudah kerana pada awal penubuhannya 18 tahun lalu, cabaran utama yang dihadapi untuk meyakinkan pengusaha restoran mamak menjadi ahli Presma supaya suara mereka ‘lebih besar’ untuk mendapat perhatian kerajaan.
“Tambahan pula, ketika itu tanggapan berpersatuan hanya akan menyusahkan masih menebal di kalangan pengusaha restoran India Muslim,” katanya.

Menurutnya, 1994 dan 1995 menjadi tahun paling mencabar kepada Presma kerana mengadapi masalah kekurangan pekerja yang semakin meruncing disebabkan terlalu banyak restoran dibuka. Dengan kekuatan ahli yang meningkat kepada 800 orang, suara dan masalah yang disuarakan Presma akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

“Pada 1996, dasar kerajaan yang membenarkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber menjadi penyelesaian kepada masalah kekurangan pekerja dihadapi.

“Negara sumber bermaksud negara asal jenis masakan yang dijual. Contohnya, jika masakan bersumberkan rempah-ratus, pengambilan pekerja dari India dibenarkan, begitu juga jika masakan berasaskan makanan Barat, dibolehkan mengambil pekerja asing dari negara Barat,” katanya.

Noorul Hassan berkata, antara sebab utama restoran mamak terus relevan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini ialah kerana mereka sentiasa mengutamakan perkhidmatan, kebersihan dan kualiti makanan.

Ujarnya, tiga perkara itu menjadi inti pati penting dalam menentukan kelangsungan restoran mamak untuk terus kekal dalam industri makanan negara.

“Harga makanan juga perlu berpatutan dan keuntungan yang diperoleh perlu dilaburkan semula untuk menaik taraf restoran supaya sentiasa ‘segar’ selari dengan arus kemodenan untuk memenuhi cita rasa pelanggan.

“Kita selalu menekankan kepada ahli bahawa keuntungan sebenarnya diperoleh daripada bilangan pelanggan yang ramai, contohnya mendapat untung RM1 daripada lima pelanggan lebih baik daripada dua pelanggan memberikan kita RM1,” katanya.

Mengambil contoh senario di restoran mamak yang sering mencuri tumpuan kaki bola pada musim kejohanan bola sepak dunia, beliau berkata, pengusaha perlu menerima dan menganggapnya sebagai musim menghargai pelanggan.

No comments: