Wednesday, October 31, 2012

STSB Rancang Tarik 1,000 Peserta Untuk Program Francais

ALOR SETAR, 30 Okt (Bernama) -- Seleraku Trading Sdn Bhd (STSB), pengeluar produk burger oblong jenama Sempoii, merancang mewujudkan program francais, Program Rakan Niaga Oblong Burger yang melibatkan 1,000 peserta gerai dan 100 kiosk dalam masa lima tahun.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=705511
Published: October 31, 2012

Pengarah Urusannya, Zunita Nordin berkata, bagi tujuan itu, STSB akan melabur RM14 juta dan program itu dijangka mampu menjana pendapatan RM3,000 sebulan bagi setiap peserta gerai dan RM5,000 bagi peserta kiosk.

Melalui bantuan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), katanya program itu berjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan terutama dari penduduk di wilayah utara.

Sejak program itu dimulakan pada 2010, beliau berkata lebih 130 peserta telah menyertai program tersebut.

"Jumlah peserta "Oblong Burger Boy" adalah seramai 119 orang yang mana sebahagian besar beroperasi di wilayah utara termasuk di Langkawi, selain Selangor dan Kuala Lumpur.

"Oblong Burger kini berupaya meningkatkan keluaran sehingga 15 tan sehari di mana ia secara langsung menyediakan 50 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata syarikat itu dalam perancangan untuk mewujudkan satu lagi konsep iaitu "Oblong Burger Girl" bagi meningkatkan peluang perniagaan di kalangan wanita selepas kejayaan dalam program sedemikian penyertaan dari Persatuan Ibu Tunggal Langkawi.

Zunita berkata STSB telah membuka kiosk pertamanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini dan kiosk kedua dirasmikan pada 25 Okt lepas di Menara Alor Setar di sini.

"Selain itu, STSB telah mengadakan perbincangan bersama PLUS yang kini dalam proses untuk menempatkan gerai Oblong di setiap kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi meluaskan lagi pemasaran," katanya.

Beliau berkata syarikat itu ditubuhkan pada 2005, di mana pada peringkat permulaan, ia beroperasi secara kecil-kecilan di Kepala Batas di sini dan kini telah mempunyai sebuah kilang di Napoh, Jitra.

Antara produk keluaran STSB yang mendapat sambutan memberangsangkan adalah Sempoi Oblong, Sempoi O-Boolat Burger, satay dan kebab.

-- BERNAMA

No comments: