Tuesday, October 23, 2012

Dari minat jadi pendapatan

BERMULA dengan hanya mengambil tempahan membuat kek secara kecil-kecilan dengan modal sekitar RM100, kini Izzah Azura Hamzah mampu tersenyum apabila perniagaan Ixalicious Resources yang dibina semakin mendapat sambutan dari masa ke semasa.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dari-minat-jadi-pendapatan-1.97159
Published: October 23, 2012

Izzah
Ixalicious menaja kek perkahwinan Irma Hasmie.

Menurut Izzah, perniagaannya bermula secara rasmi pada 2010 setelah tamat pengajian di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Pada awalnya, Ixalicious ditubuhkan secara tidak sengaja sekitar 2007 kerana minat yang mendalam dalam bidang manisan terutamanya manisan barat. Ketika itu, rakan-rakan mengambil peluang merasa kek keju yang dibuat dan meminta saya buat untuk mereka.

“Dari situ, timbul idea untuk menjadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan. Setelah tamat pengajian, saya mula bergerak aktif dan menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.

Pendapatan cecah RM10,000 sebulan
Sehingga kini, Ixalicious yang berpusat di Keramat AU2, Kuala Lumpur ini menawarkan pelbagai jenis manisan antaranya kek pelbagai jenis, kek cawan, puding roti, pavlova, apple crumble, biskut coklat cip dan turut menerima tempahan kek hantaran diperbuat daripada fondant.

Izzah berkata, pelbagai produk ditawarkan, red velvet dan rainbow cake merupakan antara dua jenis kek yang mendapat permintaan paling tinggi.

“Secara purata, tempahan diterima termasuk kek, pavlova dan kek cawan mencecah sehingga 300 biji sebulan. Daripada jumlah tersebut, 50 peratus daripadanya adalah tempahan rainbow cake.
“Dari segi jualan pula, purata jualan kami sebulan adalah antara RM8,000 hingga RM10,000. Memandangkan kami bekerja dari rumah dan masih terhad, kami berharap agar dapat mengekalkan jumlah jualan seperti biasa sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Katanya, bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan, Ixalicious sentiasa memperkenalkan sekurang-kurangnya lima produk baru setiap tahun. Malah, selepas Hari Raya ini juga Ixalicious akan tampil dengan satu lagi produk baru.

No comments: