Thursday, October 11, 2012

Malaysia Perlu Berhati-hati Pilih Nilai Jepun Yang Mahu Diguna Pakai, Tun M

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=701084

Published: October 11, 2012

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Walaupun dasar Pandang Ke Timur terus relevan, Malaysia perlu berhati-hati dalam memilih nilai-nilai Jepun yang mahu diterima pakai, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun pada masa ini Jepun lebih kebaratan berbanding 30 tahun lepas, katanya masih ada banyak nilai yang Malaysia boleh terima pakai dari Jepun bagi mengembangkan lagi ekonominya.

"Kita mesti terus menerima pakai nilai-nilai lain untuk masa depan, namun pada masa ini perlu bijak membezakan, pilih yang tepat," katanya dalam ucapan pada jamuan malam sempena persidangan Dasar Pandang Ke Timur di sini Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata nilai-nilai seperti etika kerja dan semangat berinovasi Jepun masih memberi manfaat kepada Malaysia.

"Rakan Jepun saya masih bertanya sama ada saya terus memandang ke timur pada masa depan sedangkan Jepun menghadapi masalah ekonomi sejak 20 tahun lepas.

"Saya memberitahunya bahawa saya kini memandang ke Timur untuk melihat kesilapan yang anda lakukan supaya kami dapat mengelaknya," katanya berseloroh, dan disambut gelak-ketawa daripada tetamu yang hadir.

Selain itu, beliau berkata perkara lain yang perlu dikaji ialah penubuhan universiti Jepun di sini memandangkan kos untuk menghantar pelajar terus ke Jepun sangat mahal.

Dr Mahathir, perdana menteri keempat Malaysia, melancarkan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982.

-- BERNAMA

No comments: