Wednesday, January 2, 2013

Program SIP SME Corp bantu PKS

SME Corporation Malaysia (SME Corp) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memperkenalkan Program Pelaburan PKS (SIP) yang bakal menjadi instrumen pembiayaan peringkat awal terbaru kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ProgramSIPSMECorpbantuPKS/Article
Published: January 02, 2013

pix_gal0

Menerusi program itu, SME Corp akan menyelaras penubuhan syarikat pelaburan yang akan menjana modalnya daripada pasaran modal, dan ia kemudian digandakan menerusi pinjaman daripada kerajaan.
Modal itu akan disalurkan oleh syarikat pelaburan berkenaan kepada PKS sebagai pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya.

Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim, berkata pihaknya menyasarkan untuk memperkenalkan program itu menjelang April ini, selepas dibentang dan diluluskan kerajaan menerusi Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.

Beliau berkata, jika diluluskan, ia bakal meningkatkan sumbangan industri modal teroka dalam menyokong PKS baru yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan sektor kewangan.

Perincikan butiran
“Masih ada beberapa langkah atau butiran yang perlu diperincikan terlebih dulu dan ia akan mengambil masa kerana mungkin memerlukan pindaan undang-undang yang berkaitan selain membabitkan banyak pihak terutama SC dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Pada masa depan, kami mahu pihak industri menjadi pelabur kepada PKS baru dan bukan lagi hanya bank atau syarikat kewangan. Ini adalah antara strategi utama Program Berimpak Tinggi (HIP) di bawah Pelan Induk PKS (2012 –2020),” katanya kepada BH dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

Pelan Induk PKS menggariskan 32 inisiatif, termasuk enam HIP yang bertindak sebagai pengubah cara (game changer) dalam industri bagi mencapai sasaran sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang tahun 2020 berbanding 32 peratus pada 2010.

Pelan Induk itu menerima peruntukan RM30 juta menerusi Bajet 2013 turut merangkumi langkah membangunkan perusahaan mikro kumpulan pendapatan 40 peratus terendah serta langkah khusus bagi pembangunan PKS di Sabah dan Sarawak.

Mengulas konsep SIP, Hafsah berkata, syarikat pelaburan yang bakal dibangunkan di bawah program itu akan memperoleh manfaat menerusi agihan keuntungan daripada pegangan ekuiti dan bayaran balik hutang, manakala PKS pula memperoleh modal permulaan, nasihat dan bimbingan kepakaran.

Kawal selia SC
Katanya, bagi menjaga kebajikan PKS, syarikat pelaburan itu akan dikawal selia oleh SC dan pengawal selia pasaran kewangan yang lain supaya operasinya lebih telus dan diyakini.

“Kami sedang memperincikan konsep program, syarat, kriteria, struktur pelantikan dan penilaian syarikat pelaburan ini. Malah SC akan mengadakan satu set peraturan khusus bagi memastikan kelayakan syarikat pelaburan terbabit.

“Modal pembiayaan yang disalurkan kerajaan adalah berbentuk pinjaman yang perlu dibayar balik, namun butiran lanjut berhubung tempoh pembayaran dan kadar pinjaman masih dikaji serta akan diumumkan apabila dimuktamadkan kelak.

“Program seumpama itu dilaksanakan dengan jayanya di Amerika Syarikat (AS) meliputi pelbagai sektor,” katanya.

No comments: