Wednesday, October 10, 2012

Kualiti produk KR1M dijamin Kementerian Kesihatan

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121010/ek_04/Kualiti-produk-KR1M-dijamin-Kementerian-Kesihatan

Published: October 10, 2012

Ismail Sabri Yaakob bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, 
Datuk Seri Yahya Hussin (tiga dari kiri) bergambar bersama
 orang ramai sempena majlis perasmian kedai milik Koperasi 
 Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Berhad di Kepayan 
Perdana, Kota Kinabalu, semalam. 
 
KOTA KINABALU 9 Okt. - Kerajaan memberi jaminan kesemua 283 barangan keperluan asas yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah selamat dan kualitinya terjamin, sekali gus menafikan tohmahan segelintir pihak yang mempertikaikan barangan kedai tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum memasuki KR1M, kesemua barangan itu terlebih dahulu dihantar kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan kumpulan sasar mendapat barangan yang berkualiti.

"Kementerian kita tidak mempunyai kepakaran dan bidang kuasa mengenai kualiti tetapi Kementerian Kesihatan akan menentukannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog tahunan kementerian itu bersama pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk Sabah dan Labuan bagi tujuan program penyeragaman harga Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun depan, berbanding RM90 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Ismail Sabri, sebanyak 25 buah KR1M akan dibuka di Sabah dan dua di Labuan dengan nilai anggaran peruntukan kira-kira RM41 juta sebagai tambahan kepada hanya sebuah KR1M yang telah dibuka di negeri itu iaitu di Inanam di sini.

No comments: