Monday, October 22, 2012

Perda sasar bantu 50 syarikat kecil, sederhana

KEPALA BATAS 21 Okt. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyasarkan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana akan menerima manfaat daripada Skim Sokongan Pembangunan Usahawan Kelas Pertengahan (SSPUP) dalam tempoh dua tahun selepas dilancarkan hari ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121022/wu_02/Perda-sasar-bantu-50-syarikat-kecil-sederhana
Published: October 22, 2012

Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) bagi membolehkan pihaknya melaksanakan aktiviti bimbingan dan pembangunan perniagaan kepada golongan tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu akan dijalankan di bawah Jawatankuasa Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

"Terdapat tiga jenis skim yang disediakan iaitu Skim Rangsangan Usahawan Pertengahan, Skim Capaian Insentif Kerajaan dan Geran Sokongan Perusahaan dan Perniagaan.

"Buat permulaan sebanyak 38 syarikat dipilih bagi menerima bantuan sokongan di bawah skim itu manakala 12 syarikat lagi masih dalam peringkat pemilihan dan tapisan," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran SSPUP 2012/2013, di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop merangkap Pengerusi MPBPP.

Sementara itu Mohamad Farid berkata, pada tahun ini sebanyak RM18.2 juta diperuntukkan oleh MPBPP kepada jawatankuasa yang diuruskannya melibatkan beberapa projek pembangunan perniagaan untuk bumiputera.

Jelasnya, antara projek yang dilaksanakan ialah kompleks perniagaan berkonsepkan Midtown di Kubang Menerong, Tasek Gelugor bernilai RM11.5 juta, peruntukan untuk SSPUP sebanyak RM5 juta, promosi usahawan ke luar negara sebanyak RM196,000 dan projek pembangunan Bengkel Pandai Besi di Pekan Darat sebanyak RM1.5 juta.

Dalam pada itu, bagi pengusaha kopi guarana dari Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd., Hazilah Abd. Rahman, pihaknya amat berbesar hati dengan skim yang dilaksanakan oleh Perda kerana ia mampu membantu usahawan bumiputera sepertinya untuk pergi lebih jauh.

"Melalui geran sokongan sebanyak RM50,000 yang diberikan melalui skim ini, kami dapat memperluaskan pasaran serta menjalankan promosi secara lebih sistematik bagi membawa produk ke pasaran luar negara.
"Malah melalui beberapa ekspo jualan di luar negara yang dianjurkan, kami dapat menjual produk ke pasaran antarabangsa seperti China, Brunei, Thailand dan Indonesia," ujarnya.

No comments: