Sunday, October 14, 2012

CIMB Islamic teruskan promosi menerusi Mihas, Halfest

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/cimb-islamic-teruskan-promosi-menerusi-mihas-halfest-1.94286

Published: October 14, 2012

KUALA LUMPUR - CIMB Islamic akan terus memberi promosi istimewa dari segi sokongan kewangan kepada semua usahawan halal yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Halal Fiesta Malaysia (Halfest).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badlisyah Abdul Ghani berkata menyedari bahawa perniagaan halal adalah industri strategik, CIMB Islamic telah mengambil keputusan untuk memberi sokongan kepada pembangunan industri halal di Malaysia.

"CIMB Islamic telah menyokong Mihas yang disasarkan untuk segmen perniagaan ke perniagaan (B2B), dan kini kami mahu membantu perniagaan kepada pengguna menerusi Halfest," katanya kepada Bernama di Majlis Makan Malam dan Anugerah Usahawan Halfest, pada Jumaat.

Beliau berkata, CIMB Islamic juga akan memberikan sokongan kewangan kepada lain-lain usahawan halal, "selagi mereka mempunyai aliran tunai, promosi produk yang baik, dan cadangan perniagaan yang baik".

Terdahulu di dalam ucapannya, Badlisyah berkata pembabitan CIMB Islamic pada Halfest tahun lepas telah memberikan pulangan yang memberangsangkan.

Ia mencatatkan permohonan pembiayaan sebanyak RM240 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM145 juta telah diluluskan dan RM100 juta pembiayaan dikeluarkan kepada pelanggan," kata beliau.

Katanya CIMB Islamic menawarkan pakej pembiayaan premis Perniagaan-i pada kadar pembiayaan asas tolak 2.20 peratus (BFR-2.20 peratus).

"Ini bermakna kadar efektif semasa hanyalah 4.4 peratus berdasarkan kadar pembiayaan asas semasa 6.60 peratus," tambahnya.

Halfest  merupakan sebuah ekspo Halal yang diwujudkan untuk memperkukuhkan dan merangsang industri halal tempatan sebelum melangkah ke pasaran global.

Halfest turut mempunyai sasaran untuk menjadi platform dalam membangunkan pasaran Halal di peringkat negara.

CIMB Islamic merupakan penganjur Halfest 2012 yang berlangsung selama lima hari bermula 10 Oktober lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penganjurannya turut disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan, Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia. - Bernama

No comments: