Thursday, October 11, 2012

FDI industri halal lepasi sasaran

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FDIindustrihalallepasisasaran/Article/index_html

Published: October 11, 2012

INDUSTRI halal di negara ini berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM1.1 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sekali gus melepasi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan bagi keseluruhan 2012.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bersama-sama dengan agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bekerja keras mengembangkan sumbangan industri melalui pelbagai program dan aktiviti.

Katanya, eksport halal sudah menyumbang 5.1 peratus daripada jumlah eksport tahun lalu sebanyak RM35.4 bilion dan bagi separuh pertama tahun ini eksport halal adalah RM16.6 bilion.
“Menurut HDC, jumlah eksport halal tahun lalu menunjukkan peningkatan 53 peratus berbanding 2010 dengan keseluruhan eksport sebanyak RM513.6 bilion di mana produk sektor utama adalah bahan ramuan halal, produk makanan dan minuman, bahan derivatif lemak dan minyak, bahan kimia, kosmetik dan farmaseutikal.

“Selain itu, terdapat lebih kurang 5,000 syarikat diperakui halal di Malaysia manakala daripada 630 pengeksport, 460 adalah pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Fiesta Halal Malaysia (Halfest 2012) di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah Majllis Amanah Rakyat, Datuk Ibrahim Ahmad.

Sementara itu, Jamil berkata, pencapaian FDI yang memberangsangkan itu disokong oleh insentif daripada kerajaan termasuk pengecualian cukai barangan pembuatan yang dibawa ke Taman Industri Halal di seluruh negara selain Malaysia mempunyai bekalan ramuan halal yang terbesar dalam produk makanan dan produk farmaseutikal.

Beliau berkata, bagi eksport halal pula pihaknya percaya dapat meningkatkan jumlah terbabit memandangkan, HDC menyasarkan untuk menerokai pasaran eksport di Indonesia.

No comments: