Sunday, October 14, 2012

Portal YPU mampu promosi lebih 21,000 usahawan di Terengganu

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/portal-ypu-mampu-promosi-lebih-21-000-usahawan-di-terengganu-1.94603

Published: October 14, 2012

KUALA TERENGGANU - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yakin Portal Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang dibangunkannya mampu mempromosi syarikat dan produk lebih 21,000 usahawan di Terengganu.
  
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, A Razak Sulaiman berkata SUT adalah tambah nilai kepada usahawan di bawah YPU sendiri dalam memperluaskan jaringan maklumat perniagaan mereka melalui capaian secara elektronik.
  
"YPU akan memasukkan data usahawan melalui kad bisnes diberikan mereka. Pengguna dari seluruh negara boleh mengakses bagi mendapatkan kad bisnes tersebut serta maklumat tambahan tentang sesuatu syarikat serta produk.
  
"Melalui portal SUT, YPU ingin mewujudkan satu pangkalan data lengkap mengenai senarai usahawan menyediakan perkhidmatan berasaskan makanan, pembuatan, pengangkutan, pertanian dan pelancongan," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata kaedah promosi itu dijangka lebih berkesan berbanding kaedah iklan secara tradisional yang terbatas untuk tempat, komuniti dan pengguna dalam radius kawasan terhad. Kos pemasaran Internet juga jauh lebih murah berbanding pemasaran tradisional.
  
Katanya operasi portal itu sudah bermula sejak Januari lepas dan sehingga kini terdapat lebih 1,400 usahawan di seluruh negeri ini yang mendaftar dalam portal SUT.
  
"Kami harap lebih ramai usahawan dapat memberikan butiran syarikat mereka untuk dimasukkan ke dalam portal SUT kerana ini merupakan peluang bagi memasarkan produk mereka melaluinya," katanya. - Bernama

No comments: