Thursday, October 11, 2012

FDI industri halal RM1.1b

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/FDIindustrihalalRM1_1b/Article

Published: October 11, 2012
Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my

Mustapa merasmikan HALFEST 2012 di Kuala Lumpur, semalam.  
Mustapa merasmikan HALFEST 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
 
Malaysia berada di kedudukan kukuh untuk menjadi hab halal global apabila berjaya menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) RM1.1 bilion dalam industri itu bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata eksport produk halal negara mencecah RM16.6 bilion dalam tempoh itu dengan sebahagian besarnya ke China.

Katanya, tahun lalu FDI ke dalam industri halal berjumlah RM1 bilion manakala jumlah eksport produk halal adalah RM35.4 bilion.

“Halal Industry Development Corporation (HDC) bersama agensi lain seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corporation memainkan peranan penting dalam mengembangkan sumbangan industri halal menerusi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti berkaitan halal.

“Selain itu, standard pensijilan halal antarabangsa yang diperkenalkan menjadikan Malaysia sebagai penanda ukur dan pusat rujukan global dalam industri halal,” katanya pada sidang media selepas merasmikan acara Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2012) di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ketua Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

Rekod eksport halal
Mustapa berkata, Malaysia merekodkan jumlah eksport halal Malaysia RM35.4 bilion sepanjang tahun lalu daripada keseluruhan eksport yang berjumlah RM513.6 bilion.

“Eksport adalah ramuan halal yang menyumbang RM12.3 bilion (35 peratus), produk makanan dan minuman sebanyak RM11.9 bilion (34 peratus), bahan derivatif lemak dan minyak RM7 bilion (20 peratus), bahan kimia RM2 bilion (enam peratus), kosmetik dan produk penjagaan peribadi RM1.8 bilion dan farmaseutikal RM290 juta,” katanya.

Beliau berkata, antara sinergi penting dalam membantu negara menjadi hab halal global dengan wujudnya jalinan rangkaian sumber bahan asas yang kukuh di kalangan usahawan halal tempatan.

Katanya, ini kerana syarikat bertaraf dunia sentiasa mencari pembekal tempatan yang dapat menyediakan sumber asas halal secara berterusan untuk tidak membantutkan proses pengeluaran produk halal mereka.

“Produk dan perkhidmatan halal mempunyai potensi besar untuk berkembang pesat dan peluang ini harus diambil usahawan tempatan untuk menerokai segmen ini dengan lebih rancak,” katanya.

Pemberian insentif
Sementara itu, Jamil berkata, kemasukan FDI memberangsangkan dalam industri halal itu disokong pemberian insentif kerajaan termasuk pengecualian cukai bagi barangan pembuatan yang dibawa ke taman industri halal di seluruh negara.
Katanya, kini ada 19 taman industri halal di seluruh negara yang dibangunkan bagi pengembangan syarikat berskala besar serta syarikat kecil dan sederhana dalam industri halal.

No comments: