Sunday, October 21, 2012

Dana RM18.2 juta untuk IKS Bumiputera Pulau Pinang

KEPALA BATAS - Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) tahun ini memperuntukkan hampir RM18.2 juta untuk pembangunan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), kata pengerusi Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/dana-rm18-2-juta-untuk-iks-bumiputera-pulau-pinang-1.96701
Published: October 21, 2012


Daripada jumlah itu, RM11.5 juta adalah untuk pelaksanaan Kompleks Perniagaan di Kubang Menerong, Seberang Perai dan RM5 juta bagi melaksanakan Skim Sokongan Usahawan Pertengahan Bumiputera Pulau Pinang 2012/13.

Selain itu, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan Bengkel Pandai Besi dan peruntukan hampir RM200 ribu untuk promosi produk usahawan ke luar negara.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata inisiatif itu juga untuk meningkatkan sumbangan IKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang masih rendah berbanding negara membangun seperti Korea Selatan yang mencatat lebih 80 peratus.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran skim sokongan pembangunan usahawan pertengahan Bumiputera Pulau Pinang 2012/13 dan penyerahan surat bantuan geran sokongan kepada 38 syarikat, di sini hari ini.

Katanya bajet 2013 turut memberi dua fokus utama yang memberi penumpuan kepada IKS dan pembangunan usahawan iaitu merangsang aktiviti pelaburan serta membudaya inovasi dan meningkatkan produktiviti.

Sementara itu, Pengurus Besar Perda, Saringat berkata Skim Sokongan Usahawan Pertengahan Bumiputera Pulau Pinang 2012/13 adalah untuk melaksanakan aktiviti membimbing dan pembangunan perniagaan secara bersepadu.

Antara skim yang ditawarkan ialah Skim Rangsangan Usahawan Pertengahan bagi menyokong peningkatan keupayaan produktiviti, kualiti dan daya saing perniagaan dan Skim Capaian Insentif Kerajaan yang memberi bimbingan kepada syarikat meningkatkan akses ke atas kemudahan insentif. - Bernama

No comments: