Friday, October 26, 2012

Bina Integrated Industries Mahu Perluas Perniagaan

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Bina Integrated Industries Sdn Bhd, pengeluar cat Bumiputera tunggal jenama Bina Paint, mahu memanfaatkan lonjakan permintaan di dalam sektor pembinaan untuk memperluaskan perniagaannya.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=704707
Published: October 26, 2012

Pengarah Urusan Rosli Adam berkata sektor pembinaan antara sektor ekonomi yang mendapat perhatian daripada kerajaan semasa perbentangan Belanjawan 2013 bulan lepas.

"Kami mahu meraih lebih banyak projek mengecat bangunan melalui kerancakan sektor pembinaan di negara ini," katanya kepada Bernama.

Rosli berkata syarikatnya telah memperuntukkan RM5 juta modal berbayar bagi 2013 untuk memperkembangkan lagi perniagaannya dalam tempoh tiga tahun.

"Melalui modal berbayar yang diperuntukkan, kami bercadang mahu menambah rangkaian cat kami kepada 14 jenis berbanding lapan jenis sekarang.

"Kami juga mahu meningkatkan lagi mutu pembungkusan dan jenama syarikat kami kerana ia melambangkan imej syarikat," katanya, sambil menyatakan syarikat telah memperuntukkan RM500,000 sebagai bajet untuk pengiklanan dan promosi.

Bagi meningkatkan mutu dan kualiti cat Bina Paint, syarikatnya telah memperuntukkan belanjawan sebanyak 2.0 peratus daripada hasil jualan setahun sebagai kos penyelidikan dan pembangunan.

"Produk kami setaraf produk antarabangsa kerana produk kami menggunakan teknologi hijau dan mesra alam kerana ia mengandungi kandungan "volatile organik copong" yang rendah dan ia juga diiktiraf oleh SIRIM dan telah dianugerahkan "Lesen Pensijilan Ekoran."

"Cat Bina Pain juga sesuai untuk semua golongan terutama sederhana disebabkan harga yang ditawarkan sangat ekonomi dan lebih murah berbanding jenama cat lain, selain jaminan cat selama lima tahun," kata Rol.

Rol berkata syarikatnya juga merancang menambah kapasiti pengeluaran cat dikilangkannya lima kali ganda daripada 230,000 liter sebulan sekarang.

"Dengan perancangan ini, kami yakin mampu mencapai hasil jualan sebanyak RM5 juta tahun hadapan berbanding RM1.2 juta yang direkodkan sekarang," katanya.

Beliau berkata sasaran jualan itu mampu dicapai kerana syarikat telah berjaya memperoleh kontrak bernilai RM2 juta dari sektor kerajaan bagi projek mengecat bangunan-bangunan kerajaan.

Rol berkata, setakat ini, antara bangunan yang menggunakan cat Bina Pain ialah bangunan Ibu Pejabat Kementerian Kerja Raya Malaysia di Kuala Lumpur, bangunan perumahan DBKL, dan bangunan penginapan pelajar Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Peneraju syarikat berstatus Bumiputera itu berkata, syarikatnya bercadang untuk meletakkan 100 mesin tinting/pewarna di kedai perkakasan Bina Paint dalam tempoh tiga tahun bagi memudahkan pelanggan memilih cat yang disukai.

Bagi pasaran luar, beliau bercadang ingin menembusi pasaran negara Timur Tengah dan Afrika, kerana negara tersebut rancak membangunkan ekonomi negara mereka.

Pada masa ini, jenama cat Bina Paint telah berada di pasaran India dan Sri Lanka.

Syarikat Bina Integrated Industries ditubuhkan pada 1990, dan bermula 2005, syarikat tersebut mula mengeluarkan cat berjenama Bina Paint setelah beberapa tahun menjalankan kajian sendiri dengan bantuan pakar-pakar di universiti tempatan.

Syarikat tersebut berpejabat di Seri Kembangan, Selangor dan mempunyai kilang di Bandar Baru Bangi yang dibantu oleh kira-kira 140 pekerja di 11 cawangan di seluruh negara.

-- BERNAMA

No comments: