Thursday, October 11, 2012

Dekati PKS Jepun

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DekatiPKSJepun/Article/index_html

Published: October 11, 2012
Oleh Hairulazim
Mahmud azim@hmetro.com.my

Datuk Seri Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu lebih banyak syarikat Malaysia bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur dalam usaha merancakkan ekonomi negara.
Katanya, kedua-dua negara boleh berganding dalam bidang kepakaran termasuk teknologi hijau, perkhidmatan teknikal utama dan sektor dengan nilai tambah yang lain.

“Pengambilalihan kemahiran, pengetahuan dan nilai ini adalah paksi kepada kejayaan Dasar Pandang ke Timur.
“Perkongsian strategik ini akan menyumbang terhadap peralihan kita kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan pengetahuan selain membantu mengukuhkan tulang belakang ekonomi kita,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Bersama Dasar Pandang Ke Timur-Satu Dimensi Baharu dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) ke-31 di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Najib berkata, dua perkara utama yang boleh dilakukan dalam tempoh 30 tahun bagi terus menjayakan dasar berkenaan ialah memberi tumpuan lebih khusus kepada sasaran ekonomi negara seperti di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Katanya, melalui ETP kerajaan memberi tumpuan kepada gerakan industri dipacu pengetahuan dan berteknologi tinggi yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar kepada penjimatan tenaga dan teknologi hijau.

Untuk itu, katanya, kerajaan mengenal pasti prospek pertumbuhan di dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan. “Ini adalah sebahagian daripada petunjuk keutamaan kita bagi tahun-tahun akan datang. Jadi, kita perlu merangka program Pandang ke Timur yang menyentuh keperluan tersebut,” kata beliau.

Faktor seterusnya, kata Najib, kedua-dua negara perlu menumpukan bukan hanya kepada pengukuhan graduan yang berkemahiran sebaliknya turut mewujudkan industri yang utuh.
“Itu adalah kunci sebenar kepada perkongsian yang kekal sehingga membuatkan saya betul-betul gembira menyaksikan sendiri kewujudan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, institut itu akan memberikan Malaysia peluang untuk mengalami keunikan persekitaran perindustrian hasil kerjasama rapat antara golongan akademik dan perniagaan Jepun.

“Saya akan menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun melabur di Malaysia dan secara ikhlas saya harap ini akan merangsang lebih banyak universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di sini juga,” katanya.

Tahun lalu pelaburan Jepun di dalam sektor pembuatan Malaysia adalah yang tertinggi sejak 1980 mencecah AS$3.2 bilion (RM9.8 bilion).

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda berkata, kerajaan Jepun berhasrat mengukuhkan lagi kerjasama bagi menyokong Dasar Pandang Ke Timur yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982.

“Kira-kira 1,400 syarikat Jepun bertapak di Malaysia dan kami bercadang mahu meningkatkan kerjasama menggunakan kepakaran teknologi Jepun di dalam bidang tertentu khususnya dalam bidang pembangunan infrastruktur.

“Kerjasama itu akan fokus kepada kereta api berkelajuan tinggi, perniagaan air dan komuniti pintar,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Nakamura.

Tambahan pula, katanya, mulai bulan lalu Jepun mengeluarkan Visa Kemasukan Pelbagai bagi tempoh lawatan singkat untuk rakyat Malaysia yang sah selama tiga tahun dan menjangka lebih banyak pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

No comments: