Sunday, October 14, 2012

Lebih banyak PKS Malaysia teroka India

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121013/ek_03/Lebih-banyak-PKS-Malaysia-teroka-India

Published: October 14, 2012

PUNE, India 12 Okt. - Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia berkembang secara agresif ke India, dengan peluang yang luas dalam negara yang mempunyai lebih satu bilion penduduk itu, kata Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia yang berpangkalan di Mumbai, Noraslan Hadi Abdul Kadir.

"Apabila saya tiba pada 2009, banyak syarikat besar telah datang ke India, tetapi sekarang kita melihat lebih banyak PKS Malaysia memasuki negara ini.

"Terdapat pelbagai industri seperti bahagian dan komponen automotif serta bekalan komponen bagi sektor pembinaan di sini.

"Ada yang telah membuka barisan pemasangan. Mereka mengimport komponen separa terurai dan melakukan pemasangan di sini untuk pasaran India," katanya di luar acara Showcase Malaysia 2012 hari ini.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mah Siew Keong berkata, lebih banyak syarikat Malaysia perlu meneroka ke India.

"Matrade akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan untuk mengukuhkan kehadiran mereka di sini memandangkan kita kini tidak lagi memberi tumpuan kepada perdagangan sahaja tetapi juga pelaburan," katanya.

Noraslan berkata, Matrade kini boleh membantu syarikat-syarikat ini menembusi pasaran India, peranan yang sebelum ini di bawah Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA). - BERNAMA

No comments: