Thursday, October 11, 2012

ECE sasar 13 vendor tempatan

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ECEsasar13vendortempatan/Article/index_html

Published: October 11, 2012

ECE Technologies Sdn Bhd (ECE), pengeluar peralatan elektronik bagi pasaran tempatan dan antarabangsa menyasar penyertaan 13 vendor tempatan bagi membekalkan peralatan serta komponen terutama di kalangan usahawan Bumiputera menjelang 2014.

Ketika ini, ECE mempunyai empat vendor untuk menyokong operasi pengeluarannya dan sasaran itu satu daripada agenda syarikat membantu syarikat Bumiputera serta menyokong Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mahyudin Zainal berkata, syarikatnya membuka peluang perniagaan kepada orang ramai kerana pada masa depan, ECE dijangka mampu mempunyai kapasiti pengeluaran lebih besar antaranya pengeluaran mesin basuh sebanyak 60,000 unit setahun.
“Pembukaan dua kilang baru akhir tahun ini dan awal tahun depan dijangka merancakkan lagi keperluan syarikat terhadap bekalan peralatan dan komponen.

“Ketika ini, 65 peratus pengeluaran produk ECE dieksport ke beberapa negara termasuk Indonesia, Timur Tengah, Singapura serta sekitar Afrika dan kapasiti pengeluaran perlu lebih besar kerana permintaan meningkat,” katanya pada majlis taklimat kepada media di Taiping, Perak semalam.

Menurutnya, syarikatnya mengunjurkan menggunakan 100 peratus peralatan dan komponen buatan Malaysia bagi memperkenalkan keaslian bahan eksport tempatan ke peringkat antarabangsa menjelang 2014.

No comments: