Thursday, October 11, 2012

RM14 juta untuk usahakan kenaf

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121011/ko_02/RM14-juta-untuk-usahakan-kenaf

Published: October 11, 2012

PASIR PUTEH 10 Okt. - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mendapat peruntukan sebanyak RM14 juta untuk mengembangkan tanaman kenaf sebagai komoditi baru, sepanjang tahun hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Loman berkata, peruntukan itu adalah yang tertinggi diperoleh setakat ini, iaitu tiga kali ganda berbanding peruntukan tahun ini sebanyak RM4 juta.
"Ia antara lain akan dibelanjakan untuk mengeluarkan insentif sebanyak RM2,385 sehektar kepada petani yang mengusahakan tanaman berkenaan," katanya kepada pemberita dalam majlis kesyukuran tanaman kenaf di Kampung Sungai Petai dekat sini hari ini.

Sempena majlis itu, beliau menyampaikan insentif kepada empat orang petani yang berjaya menanam kenaf di kawasan seluas 4.6 hektar di kampung itu dengan pendapatan lumayan berjumlah lebih RM23,000.

Ahmad berkata, skim insentif itu termasuk upah membajak, kos membaja, benih dan racun, tidak termasuk memagar kawasan daripada diceroboh musuh tanaman.
Beliau berkata, menjelang tahun 2015, LKTN mensasarkan kira-kira 5,000 hektar kawasan akan ditanam dengan kenaf termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pada tahun hadapan, pihaknya merancang akan mengusahakan kawasan seluas 2,000 hektar dengan jangkaan pengeluaran minimum sebanyak 10,000 tan batang kenaf.
Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 203 hektar kawasan akan diusahakan di Kelantan, manakala Trengganu 203.8 hektar, Pahang (446.4), Negeri Sembilan/Johor (17), Kedah (42), Perlis (12), manakala di Perak di peringkat percubaan.

"Walaupun tanaman itu mula diperkenalkan lebih setahun lepas kepada petani untuk mengantikan tanaman tembakau, LKTN berjaya mengusahakannya membabitkan kawasan seluas lebih 925 di Semenanjung Malaysia," katanya.
Menurut beliau, hasil tanaman itu yang berjaya diproses dieksport ke Jepun dan Korea bagi memenuhi permintaan industri automotif di negara berkenaan.

Ahmad berkata, pihaknya merancang untuk menaikkan harga komoditi itu yang kini dijual pada harga RM5 sekilogram, bagi menggalakkan lebih ramai petani mengusahakan tanaman kenaf.

No comments: