Monday, October 15, 2012

CIMB Islamic terus bantu usahawan halal

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CIMBIslamicterusbantuusahawanhalal/Article/index_html

Published: October 15, 2012

CIMB Islamic akan terus memberi promosi istimewa dari segi sokongan kewangan kepada semua usahawan halal yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Halal Fiesta Malaysia (Halfest).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badlisyah Abdul Ghani berkata, menyedari perniagaan halal adalah industri strategik, CIMB Islamic mengambil keputusan untuk memberi sokongan kepada pembangunan industri halal di Malaysia.

“CIMB Islamic menyokong Mihas yang disasarkan untuk segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) dan kini kami mahu membantu perniagaan kepada pengguna menerusi Halfest,” katanya pada majlis Makan Malam dan Anugerah Usahawan Halfest, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, CIMB Islamic juga akan memberikan sokongan kewangan kepada lain-lain usahawan halal selagi mereka mempunyai aliran tunai, promosi produk yang baik dan cadangan perniagaan yang baik.

Terdahulu Badlisyah dalam ucapannya berkata, pembabitan CIMB Islamic pada Halfest tahun lalu memberikan pulangan yang memberangsangkan dengan mencatatkan permohonan pembiayaan sebanyak RM240 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM145 juta sudah diluluskan dan RM100 juta pembiayaan dikeluarkan kepada pelanggan,” katanya sambil menambah CIMB Islamic menawarkan pakej pembiayaan premis Perniagaan-i pada kadar pembiayaan asas tolak 2.20 peratus (BFR-2.20 peratus).

Katanya, ia bermakna kadar efektif semasa hanyalah 4.4 peratus berdasarkan kadar pembiayaan asas semasa 6.60 peratus. -Bernama

No comments: