Thursday, October 11, 2012

Minat bangun kereta api laju

KECEMERLANGAN Malaysia menangani kegawatan ekonomi dunia menarik minat lebih banyak syarikat Jepun untuk melabur di negara ini dan mengambil bahagian dalam projek utama kerajaan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minatbangunkeretaapilaju/Article/index_html
Published: October 11, 2012

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, banyak syarikat dari negara mata hari terbit itu berhasrat melabur dalam sektor membabitkan teknologi dan pembuatan selain penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun yang ingin mengadakan perkongsian strategik dengan syarikat Malaysia antaranya dalam bidang pembuatan komponen alat ganti automotif.

“Selain itu, terdapat syarikat Jepun yang berminat mengambil bahagian dalam bidang khusus pembangunan infrastruktur seperti projek kereta api berkelajuan tinggi.

“Syarikat terbabit turut mengkaji untuk bekerjasama dengan kita bagi projek ini serta dengan banyak negara lain. Jepun mempunyai kelebihan kerana mereka negara pertama dunia yang memperkenalkan teknologi kereta api laju. Bagaimanapun, tendernya masih terbuka dan kami masih membuka projek itu untuk dibida dan mencari rakan berpotensi yang mempunyai teknologi baik, serta keupayaan kewangan bagi projek ini,” katanya pada sidang media Persidangan Dasar Pandang ke Timur - Satu Dimensi Baharu di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan optimis hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun akan terus memihak kepada negara ini.

“Malaysia menikmati lebihan dagangan sejak 1997. Bagaimanapun, untuk tahun mendatang, kita tetap memantau ‘trend’ ini berasaskan persekitaran ekonomi global,” katanya.

Menurutnya, meskipun dunia kini berdepan masalah ekonomi, Malaysia tetap mampu mencatatkan lebihan dagangan dengan beberapa negara lain sejak kebelakangan ini. “Malaysia mencatatkan lebihan sekurang-kurangnya RM6 bilion sejak beberapa bulan lalu daripada perdagangan keseluruhan kita di seluruh dunia,” katanya.

No comments: