Thursday, October 11, 2012

MyCreative sedia agih RM200j

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MyCreativesediaagihRM200j/Article

Published: October 11, 2012
Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my

Johan Ishak, Ketua Eksekutif  MyCreative Ventures  
Johan Ishak, Ketua Eksekutif MyCreative Ventures
 
30 permohonan diterima daripada peserta industri kreatif tempatan
Mycreative Ventures Sdn Bhd, yang diberikan peruntukan RM200 juta bagi menerajui pertumbuhan industri kreatif tempatan, akan mengagihkan sebahagian dana berkenaan kepada syarikat tempatan yang bergiat dalam sektor itu, sebelum akhir tahun ini.

Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan itu akan mengagihkan dana berkenaan sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan yang berdaya maju.
Ketua Eksekutifnya, Johan Ishak, berkata sejak MyCreative dilancarkan pertengahan Ogos lalu, syarikat itu menerima maklum balas yang memberangsangkan dengan sejumlah 30 permohonan diterima daripada peserta industri kreatif tempatan.

Beliau berkata, mana-mana syarikat kreatif tempatan yang mempunyai model perniagaan berdaya maju berpeluang mendapat sokongan modal daripada dana yang diperuntukkan itu bagi membantu mereka menghasilkan produk bermutu tinggi serta berupaya menjana pulangan menguntungkan.

“Kami mahu menggalakkan keusahawanan di kalangan peserta kreatif supaya industri itu dapat ditingkatkan dari segi ekonomi.

“MyCreative Ventures juga mahu mengubah perspektif masyarakat supaya lebih menghargai bidang kreatif dari segi ekonomi,” katanya dalam satu temubual bersama BH, baru-baru ini.

Meningkatkan nilai industri kreatif tempatan
Bidang kreatif diberikan tumpuan MyCreative Ventures ialah seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional.

Johan berkata, penubuhan MyCreative Ventures sebagai cabang pelaburan kerajaan juga tepat pada masanya bagi menyokong aspirasi meningkatkan nilai industri kreatif tempatan kepada RM30 bilion, atau 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

“Banyak usaha perlu dilakukan untuk mencapai aspirasi itu dan MyCreative Ventures ialah satu antaranya,” katanya.

Berdasarkan perangkaan terkini kerajaan, industri kreatif tempatan kini dianggarkan bernilai RM9.4 bilion serta menyumbang 1.27 peratus kepada KDNK.

Angka itu bagaimanapun masih rendah berbanding beberapa negara lain yang mempunyai industri kreatif mantap seperti Kanada (7.4 peratus), Britain (6.4 peratus) dan Singapura (5.6 peratus).

Kerajaan berhasrat mengembangkan industri kreatif tempatan pada kadar 11 peratus setahun sehingga 2020.

Permohonan terbuka kepada syarikat tempatan yang berdaftar serta majoriti kepentingan dimiliki rakyat tempatan.

Ia boleh dikemukakan menerusi laman web MyCreative Ventures di www.mycreative.com.my.

No comments: