Wednesday, October 24, 2012

Malaysia Brand Outlet Singapura Platform Untuk Peluas Pasaran PKS, Kata Mustapa

SINGAPURA, 23 Okt (Bernama) -- Pembukaan Malaysia Brand Outlet (MBO) di Singapura akan menyediakan platform untuk lebih banyak jenama Malaysia memasuki republik itu, di pasaran serantau dan global, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=704331
Published: October 24, 2012

Beliau berkata MBO ialah usaha sama yang dijayakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Infinity Channel Sdn Bhd, Malaysia serta IM Gateway Pte Ltd, Singapura.

"MBO ditawarkan sebagai platform untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengetengahkan, menjual dan memasarkan produk masing-masing di Singapura dan seterusnya," katanya dalam ucapan pada pembukaan Malaysia Brand Outlet Singapura di sini Selasa.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dzulkifli Mahmud, Pengarah Kanan Matrade bagi Eksport, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Singapura Naim Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas IM Investment Holdings Pte, Ltd dan Agil Fadzil, Presiden GMB Malaysia dan Pengerusi Infinity Channel Sdn Bhd.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya Mustapa berkata inisiatif MBO merupakan bukti usaha sama antara syarikat swasta kedua-dua negara yang berkongsi banyak persamaan selain sebagai perakuan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta dalam meluaskan perdagangan.

"Saya berharap premis ini akan meningkatkan lagi momentum dalam meluaskan kehadiran Malaysia, bukan sahaja di Singapura, malah di Asean," katanya.

Menjelang 2015, kita akan mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), tiga tahun dari sekarang, dan komponen paling penting AEC ialah pelaburan dagangan sesama Asean.

"Dagangan Malaysia dengan negara Asean berjumlah kira-kira 35 peratus daripada jumlah dagangan Asean. Pelaburan Asean kira-kira 20 peratus, dan oleh itu objektif dalam konteks penyepaduan ekonomi Asean antara lain ialah meningkatkan dagangan dan pelaburan sesama Asean.

Beliau berkata pembukaan MBO itu juga merupakan contoh baik usaha sama -syarikat-syarikat dalam Asean.

Mustapa berkata kini sudah ada usaha sama antara syarikat kecil Malaysia dan syarikat Singapura yang agak besar.

Ini katanya selari dengan usaha untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

"Kita mempunyai hubungan rapat di peringkat diplomatik politik serta perniagaan.

Mustapa berkata di peringkat serantau atau Asean, lebih banyak usaha sama dijangka dijayakan antara syarikat-syarikat Asean.

"Kita bukan sahaja mahu melihat lebih banyak usaha sama antara syarikat Malaysia dan Singapura, malah dari Thailand, Filipina dan sebagainya. Menerusi cara ini, kita akan dapat menyatukan ekonomi dan mewujudkan komuniti ekonomi Asean yang mampan menjelang 2015," katanya.

Mustapa berkata dagangan Malaysia ke Singapura sangat penting. Bagi Singapura, Malaysia ialah rakan dagang terbesar, manakala bagi Malaysia, Singapura ialah rakan kedua terbesar.

Pada masa ini, MBO menjual produk daripada 20 PKS Malaysia, yang meliputi produk makanan, minuman, penjagaan kesihatan serta hasil seni.

Mustapa berkata 20 syarikat itu hanya permulaan dan MBO akan menampung 70 syarikat dan beliau yakin dalam tempoh beberapa bulan akan datang, jumlah syarikat akan bertambah.

"PKS Malaysia kini berpeluang datang ke pusat sehenti ini. Jika mereka mahu ke sini secara individu, mungkin mereka tidak mampu memadangkan ia memerlukan kos yang tinggi untuk menembusi pasaran asing.

Sambil berkata bahawa MBO merupakan idea kreatif dan mulia, Mustapa berkata kehadiran di sini bukan sahaja membolehkan syarikat Malaysia menembusi pasaran Singapura, malah ke rantau ini dan peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

No comments: