Friday, October 12, 2012

Brand Transformer bantu PKS desa

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BrandTransformerbantuPKSdesa/Article/index_html

Published: October 12, 2012

SME Corporation Malaysia (SME Corp) dijangka menjelajah ke-27 lokasi di seluruh negara bagi kempen program terbarunya, Brand Transformer yang menyasarkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mikro di luar bandar.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, Brand Transformer yang berfungsi sebagai kenderaan untuk menyampaikan maklumat akan menjelajah kawasan luar bandar bagi meningkatkan kesedaran di kalangan PKS mengenai kepentingan penjenamaan dan pembungkusan.

“Kebanyakan pengusaha PKS mikro yang tertumpu di luar bandar berdepan pelbagai masalah walaupun sedar betapa pentingnya penjenamaan dan pembungkusan menarik.

“Maka, kami mengambil langkah membawa perkhidmatan ini kepada mereka supaya golongan ini dapat memperbaiki kualiti produk agar dapat bersaing di pasaran yang lebih luas,” katanya selepas pelancaran kontena Brand Transformer di Seri Kembangan, semalam, yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, SME Corp turut bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Pusat Reka Bentuk Malaysia (DDeC), Sirim, MyIPO dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang bertindak sebagai pemudah cara untuk proses meningkatkan penjenamaan syarikat.

“Ada antara usahawan yang memiliki produk bagus dan unik, namun tidak tahu cara mendaftarkan produk mereka sebagai harta intelek. Malah, ada juga yang tidak tahu cara mendapatkan pembungkusan menarik menyebabkan produk yang ditawarkan tidak mendapat sambutan.

“Maka, melalui Brand Transformer, kami menjangkakan lebih banyak usahawan mikro dapat memperbaiki jenama mereka dengan bantuan terus daripada agensi berkaitan,” katanya.

No comments: