mustapa_mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed.
 
KUALA LUMPUR - Industri halal Malaysia telah menarik pelaburan langsung asing RM1.1 bilion dan mengeksport RM16.6 bilion pada enam bulan pertama 2012.
  
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bersama-sama dengan agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) telah bekerja keras untuk mengembangkan sumbangan industri tersebut melalui pelbagai program dan aktiviti.
  
"Menurut HDC, jumlah eksport halal di Malaysia antara Januari dan Disember 2011 adalah RM35.4 bilion, naik 53 peratus dari 2010 daripada keseluruhan eksport sebanyak RM513.6 bilion," katanya semasa merasmikan Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2012) hari ini.
  
Mustapa berkata eksport halal telah menyumbang 5.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport tahun lepas.
  
Katanya produk sektor utama eksport termasuk ramuan halal yang menyumbang RM12.3 bilion, produk makanan dan minuman (RM11.9 bilion) dan bahan derivatif lemak dan minyak (RM7 bilion).
  
Halfest 2012 menjadi hos kepada lebih 700 gerai dengan penyertaan lebih 600 syarikat dari seluruh Malaysia yang menghasilkan produk dan perkhidmatan halal bermula 10 Okt hingga 14 Okt.
  
Ekspo itu dijangka menarik lebih 70,000 pelawat sepanjang program lima hari tersebut. - Bernama