Wednesday, October 10, 2012

MITI kaji perkenal program mentor PKS

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121010/ek_03/MITI-kaji-perkenal-program-mentor-PKS

Published: October 10, 2012

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mengkaji untuk memperkenalkan program mentor kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, program tersebut akan melibatkan PKS mendapatkan bimbingan daripada syarikat-syarikat yang telah berjaya.

“Sebagai contoh Datuk Ameer Ali Mydin yang membangunkan Mydin Holdings Sdn. Bhd. dan Datuk Maznah Abdul Hamid dengan syarikat Securiforce Group of Companies tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

“PKS juga perlu berdikari dalam memastikan kejayaan syarikat dan tanpa terlalu mengharapkan bantuan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penutup program SME-University Internship 2012 Championship di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SME Corp., Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid, Timbalan Menteri MITI, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rohana Ramly.
Tambah Mustapa, kementeriannya juga menggalakkan pelajar universiti untuk memilih bidang keusahawan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian.

Terdahulu, sebanyak 68 pelajar dari 12 universiti awam telah mengambil bahagian dalam ‘SME- University Internship 2012 Championship’ anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

No comments: