Tuesday, October 9, 2012

Teraju teliti 69 projek RM6.57b

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121009/ek_02/Teraju-teliti-69-projek-RM657b

Published: October 09, 2012

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sedang meneliti 69 permohonan projek syarikat bumiputera bernilai RM6.57 bilion yang diterima setakat September lalu menerusi inisiatif Dana Mudahcara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pengwujudan dana itu bertujuan menggalakkan projek sektor swasta berimpak tinggi untuk dikendalikan syarikat bumiputera.

Menurutnya, dana tersebut merupakan geran sumbangan kerajaan untuk membantu syarikat bumiputera mendapatkan pinjaman komersial dengan syarat kos projek tidak kurang RM5 juta dan had sumbangan pada kadar 15 peratus daripada kos projek.
‘‘Permohonan tersebut sedang diteliti bagi memastikan permohonan itu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

‘‘Bagaimanapun, setakat ini sebanyak lapan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) telah pun diperakukan kerajaan dengan nilai dana berjumlah RM88 juta," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, seramai 210 pelajar telah dipilih untuk menerima biasiswa melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPBB).
Kata beliau, yayasan tersebut bukan hanya membiayai pelajar cemerlang, malah turut diperluaskan kepada pelajar luar bandar di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan golongan masyarakat Penan yang mendapat keputusan baik.

‘‘Kita tahu dalam kepayahan mereka tinggal dalam keadaan daif dan terpaksa berjalan jauh ke sekolah termasuk pendapatan ibu bapa rendah, mereka mampu mencapai keputusan seperti 5A, 6A atau 7A.
‘‘Oleh itu, melalui yayasan ini kita mencari pelajar yang mempunyai potensi bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di peringkat tinggi," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Manan, Nor Mohamed berkata, kerajaan sedang mengenal pasti 150 syarikat bumiputera di bawah program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) untuk mendapatkan projek dalam tempoh singkat selain membantu mendapatkan pinjaman modal.

‘‘Bukan mudah untuk memberikan projek kepada setiap syarikat ini dalam masa singkat.
“Bagaimanapun, kita akan membantu mereka dari segi bantuan pinjaman dana dengan mewujudkan program pembiayaan Teras dengan kerjasama SME Bank berjumlah RM500 juta," katanya.

No comments: