Wednesday, October 3, 2012

Hampir 3,000 usahawan dibiayai SPED sejak 2001

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/hampir-3-000-usahawan-dibiayai-sped-sejak-2001-1.90734

Published: October 03, 2012

KUALA LUMPUR - Seramai 2,808 usahawan Bumiputera luar bandar telah mendapat pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) bagi menjalankan perniagaan dan perusahaan sejak ia diperkenalkan pada 10 Januari 2001.
  
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jumlah pembiayaan yang diluluskan bagi tempoh itu ialah RM282 juta.
  
"Mereka termasuk 50 usahawan terdiri daripada peniaga dan pengusaha di daerah Baling, Sik dan Ulu Perak.
 
"Jumlah pembiayaan yang diluluskan kepada mereka sahaja adalah kira-kira RM5.8 juta," katanya ketika menjawab soalan Datuk Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
  
Taib ingin tahu jumlah usahawan luar bandar terutama di daerah Baling, Sik dan Ulu Perak yang mendapat faedah daripada SPED dan jenis-jenis perusahaan yang dilakukan oleh usahawan berkenaan.
  
Mohd Shafie berkata berdasarkan kajian penilaian 'outcome' yang dijalankan kementerian pada 2010, 84 peratus daripada usahawan yang dibiayai mencatat peningkatan jualan manakala 87 peratus mencatat keuntungan selepas mendapat pembiayaan SPED.
  
Beliau berkata usahawan yang dibiayai di daerah Baling, Sik dan Ulu Perak antaranya terlibat dalam industri pembuatan seperti perusahaan ais kiub, ikan pekasam, roti, kek, pastri dan produk kraf tangan. - Bernama

No comments: