Friday, October 5, 2012

Bumiputera ditawar beli Special Builder

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BumiputeraditawarbeliSpecialBuilders/Article

Published: October 05, 2012
Oleh Ahmad Farizal Hajat

Pusat lupus dan kitar semula kenderaan lama Special Builders di Tanjung Malim.  
Pusat lupus dan kitar semula kenderaan lama Special Builders di Tanjung Malim.
 
Usaha sejajar langkah UEM lupus aset bukan teras
Special Builders Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd akan ditawarkan kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi dan layak, untuk diambil alih menerusi tender terbuka.
Langkah itu sejajar dengan pendekatan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera, khususnya dalam meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi.

UEM Group dalam kenyataannya semalam berkata, penjualan itu juga sejajar dengan strategi pelupusan aset bukan teras di bawah kumpulan berkenaan yang bertujuan menjadikannya kembali fokus pada empat perniagaan teras, iaitu pengendalian lebuh raya, perbandaran dan pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta pengurusan aset dan kemudahan.

Khidmat lupus kereta
“Special Builders adalah syarikat yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan pemerolehan, pelupusan dan mengitar semula kenderaan yang tamat tempoh jangka hayat (ELV).

“Tawaran ini memberikan peluang kepada syarikat Bumiputera berpotensi dan layak untuk meneroka dan meningkatkan lagi perkhidmatan ELV di negara ini,” kata konglomerat itu.
Special Builders yang sebahagian besar pendapatannya diraih hasil jualan logam lusuh dan alat ganti kenderaan tamat tempoh jangka hayat, memiliki kilang di Proton City, Tanjung Malim, Perak.

Sejak ditubuhkan pada 2008, syarikat itu melupus dan mengitar semula 47,464 unit kenderaan sebagai kenderaan lusuh.

UEM Group berkata, syarikat Bumiputera yang berhasrat mengambil alih Special Builders perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan ditetapkan termasuk syarikat harus diurus atau dimiliki individu Bumiputera.

Jika syarikat dimiliki lebih seorang pemilik, pegangan 51 peratus ekuiti dalam syarikat harus dimiliki individu Bumiputera.

UEM Group berkata, syarikat itu juga harus mempunyai rekod kewangan baik selain berpengalaman dalam sektor berkaitan.

Kriteria pemilihan
“Kriteria pemilihan lain termasuk mempunyai pelan perniagaan berdaya maju, keusahawanan kukuh dan ketajaman perniagaan serta boleh membida dengan tawaran terbaik,” katanya.

Pelupusan Special Builders, kata UEM Group akan dilakukan secara telus dan mengikut merit dengan prosesnya dipengerusikan panel penilaian bebas.

Kumpulan itu berkata, pihak yang layak dan berminat boleh merujuk satu notis penjualan yang akan diiklankan UEM Group dalam akhbar utama.

No comments: