Friday, May 25, 2012

Dana RM200j sokong industri kandungan kreatif

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DanaRM200jsokongindustrikandungankreatif/Article

Published: on 25 May 2012

HUSNI mengatakan sesuatu kepada  Pengerusi  Forum ABAF 2012, Prof Wong Poh Kam sambil diperhatikan  Nazrin  pada majlis pembukaan program berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.  
HUSNI mengatakan sesuatu kepada Pengerusi Forum 
ABAF 2012, Prof Wong Poh Kam sambil diperhatikan 
Nazrin pada majlis pembukaan program berkenaan di 
Kuala Lumpur, semalam.

KERAJAAN akan melancarkan dana pembiayaan baru berjumlah RM200 juta bagi menyokong industri kandungan kreatif tempatan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dana yang akan dikenali sebagai Modal Teroka MyCreative itu akan berfungsi sebagai sumber pembiayaan untuk usahawan yang bergiat dalam industri kreatif. “Malaysia sedang bergerak ke arah memupuk budaya keusahawanan baru dengan meletakkan nilai yang tinggi kepada inovasi dan kepintaran.

“Kerajaan ingin melihat syarikat yang akan ditubuhkan pada masa depan didorong oleh usahawan yang memiliki idea baru yang inovatif. Justeru, pengenalan dana baru ini bakal membantu usahawan berkaitan mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam industri ini,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucaptamanya pada Forum Asian Business Angel 2012 (ABAF 2012), anjuran Cradle Fund Sdn Bhd (CRADLE), iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan yang menyalurkan geran kepada usahawan teknologi menerusi Program Pelaburan Cradle.

Husni berkata, selain dana industri kreatif, kerajaan memperuntuk RM200 juta lagi bagi melaksana projek berkaitan pembangunan kemahiran di bawah Program Tindakan bagi Belia (SAY 1Malaysia).

Sementara itu, Husni berkata, skim Pinjaman Industri Kreatif yang dilancarkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila pinjaman bernilai RM164 juta diluluskan sehingga April lalu.

“Maklum balasnya sangat baik dengan pinjaman bernilai RM164 juta telah diluluskan sehingga April,” katanya sambil menambah kira-kira RM200 juta telah diperuntukkan bagi pembuatan filem, muzik, animasi, pembangunan kandungan dan aktiviti lain yang berkaitan di bawah industri kreatif.

Ketua Eksekutif CRADLE, Nazrin Hassan dalam sidang medianya selepas perasmian ABAF 2012 itu pula berkata, insentif cukai bagi menggalakkan pertumbuhan modal teroka baru yang berasaskan model United Kingdom perlu diperkenalkan di Malaysia bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di negara ini melabur dalam perniagaan baru berasaskan teknologi tinggi.

No comments: