Wednesday, November 7, 2012

Usahawan Luar Bandar Kini Boleh Jalan Aktiviti ePerolehan

CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Program eP@Desa, inisiatif kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan pembekal, khususnya di kawasan luar bandar untuk berurus niaga dengan agensi kerajaan menerusi sistem e-Perolehan (eP), kata Pengarah Projek e-Perolehan Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=707321
Published: November 07, 2012

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/usahawan-luar-bandar-kini-boleh-jalankan-aktiviti-e-perolehan-1.101405

Published: November 07, 2012


Pengarah Projek Perolehan Elektronik Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang program Ep@Desa, Nazihah Abdullah (kanan) yang juga pengurus mini RTC Kuala Mai pada Majlis Apresiasi Program Ep@Desa. Program eP@Desa bermula pada 1 Okt 2009 sehingga 30 Sept 2010 dan sebanyak 16 Pusat Internet Desa (PID) dan 16 Medan Info Desa (MID) dipilih sebagai eP@Desa perintis.Foto: Iskandar


Di bawah program eP@Desa, beliau berkata Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah mewujudkan eP@Desa di Pusat Internet Desa (PID) dan Medan Info Desa (MID) yang membolehkan usahawan menggunakan perkhidmatan eP dan berurusniaga dengan kerajaan persekutuan.

"Program eP@Desa membolehkan usahawan luar bandar mendapat pendedahan dan latihan asas daripada pegawai terlatih berkenaan sistem eP dan berpeluang untuk memasarkan produk mereka kepada agensi kerajaan di seluruh negara.

"Dengan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perolehan, usahawan luar bandar boleh menyiapkan diri untuk menerokai pasaran baru di dalam negara dan luar negara pada masa akan datang," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

eP adalah sistem perolehan elektronik rasmi kerajaan yang membolehkan agensi-agensi kerajaan persekutuan membeli produk, barangan atau perkhidmatan daripada pembekal-pembekal secara talian.

Sistem eP antara aplikasi e-Kerajaan yang diseliakan Kementerian Kewangan, yang diperkenalkan pada tahun 2000 untuk memudahkan urusan perolehan secara elektronik.

Dengan adanya eP@Desa, beliau berkata perkhidmatan eP dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar dan memberi peluang kepada usahawan kecil ini mendaftar menjadi sebahagian daripada komuniti eP.

Mohd Shafiq berkata perkhidmatan eP yang disediakan di PID dan MID termasuk kemudahan komputer berinternet, kemudahan infrastruktur sistem eP untuk membuat permohonan pendaftaran syarikat dengan Kementerian Kewangan serta membolehkan urusniaga dengan agensi kerajaan seperti mengakses maklumat iklan sebut harga, tender, eBidding, muat naik katalog elektronik dan semakan pesanan kerajaan dan sebagainya.

Sekarang terdapat sembilan PID iaitu Pagoh, Bandar Tenggara dan Bandar Penawar di Johor, Marang (Terengganu), Bandar Tun Razak (Pahang), Balik Pulau (Pulau Pinang), Tg Sepat (Selangor), Tg Kling (Melaka) dan Kota Belud (Sabah) dan dua MID iaitu Kampung Kuala Mai (Pahang) dan Kampung Sungai Haji Muhammad (Perak).

Katanya sejak tahun 2009, kira-kira RM100,000 telah dibelanjakan untuk membiayai kos latihan program eP@Desa.

Mohd Shafiq berkata secara keseluruhan, pusat eP@Desa ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang baik, di mana terdapat 356 aktiviti yang dijalankan dan kini 70 peratus pembekal dan usahawan di seluruh negara menggunakan sistem eP.

Katanya program eP@Desa merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan bersama Commerce Dot Com Sdn Bhd sebagai rakan strategik untuk membantu golongan usahawan luar bandar turut serta dalam perolehan kerajaan melalui sistem eP.

Beliau berkata cabaran utama dalam melaksanakan program eP@Desa adalah memberi kefahaman kepada golongan sasar iaitu usahawan di luar bandar mengenai perkhidmatan yang diberikan kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: