Saturday, November 17, 2012

Rebut peluang majukan industri IKS

SEREMBAN 16 Nov. - Pelbagai ruang dan peluang yang disediakan oleh kerajaan menerusi Bajet 2013 bagi merangsang serta memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasakan sektor berkenaan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121117/ws_03/Rebut-peluang-majukan-industri-IKS
Published: November 17, 2012

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, antara peluang yang disediakan oleh kerajaan termasuklah dana, kursus serta latihan bagi membolehkan orang ramai berkecimpung dalam bidang IKS.

''Malah kerajaan turut menyediakan peluang bagi mereka menerokai pasaran dalam dan luar negara menerusi pameran dan promosi produk yang dianjurkan oleh pihak kementerian dan kerajaan negeri.

''Agensi kerajaan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan berkaitan," katanya ketika di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat IKS mampu dikembangkan, malah boleh menjana pendapatan usahawan yang terlibat dalam sektor berkenaan, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

Ditanya tentang jumlah IKS di negeri ini, Yunus menjelaskan, setakat ini terdapat 2,800 pengusaha di negeri ini yang bergiat aktif dan mengusahakan pelbagai produk termasuklah makanan, perkhidmatan dan sebagainya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan negeri turut menyasarkan penambahan lima peratus usahawan dalam sektor ini.

Kata beliau, bagi menjayakan hasrat berkenaan, semua jabatan diminta untuk membantu IKS bagi memastikan matlamat itu tercapai.

''Kita hendak supaya semua agensi yang membangunkan IKS menitikberatkan soal keberkesanan serta keberhasilan golongan ini untuk merebut peluang menghasilkan produk yang boleh dipasarkan.
''Apa yang dapat kita lihat ketika ini, banyak produk yang dihasilkan sektor IKS bermutu tinggi. Apabila ada bantuan daripada agensi kerajaan, diyakini produk ini akan dapat dipasarkan bukan setakat di negeri ini, malah di luar negara," jelas.

No comments: