Thursday, November 29, 2012

Sasar RM400 juta hasil jualan kraf tangan

KOTA BHARU 27 Nov. - Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan hasil kraf tangan sebanyak RM400 juta ke seluruh negara menjelang tahun depan. Ketua Pengarahnya, Mohd. Kamil Mohd. Ali berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan promosi yang dijalankan oleh pihaknya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121128/wt_05/Sasar-RM400-juta-hasil-jualan-kraf-tangan
Published: November 29, 2012


Mohd. Kamil Mohd. Ali (dua dari kanan) bersama Mukhtar Mustapa 
(tiga dari kanan) melihat hasil tekstil ketika melawat pameran pada 
Promosi Kraftangan Malaysia 2012 di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, Kraftangan Malaysia akan mengadakan promosi di setiap negeri yang mempunyai potensi hasil kraf tangan terbaik bagi menarik orang ramai meminatinya sama ada tekstil, hasil tanah, logam dan hasil rimba.

"Sehingga September lalu, kita mencatatkan nilai jualan lebih RM300 juta melalui promosi yang diadakan di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran sehingga akhir tahun ini.

"Sebelum ini, kita hanya menumpukan promosi kraf tangan di pusat jualan kraf kebangsaan di Jalan Conlay, Kuala Lumpur. Kini kita mengadakan promosi di seluruh negara mengikut kesesuaian tempat.

"Melihat kepada sambutan, saya berharap usahawan dan pengusaha kraf tangan dapat menghasilkan produk baru ataupun meningkatkan kualiti sesuatu keluaran tersebut mengikut peredaran masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Promosi Kraftangan Malaysia 2012 di Pusat Jualan Kraftangan, Jalan Kuala Krai, Kampung Bunut Payung di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Datuk Mukhtar Mustapa serta Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Kamaruzaman Salleh.

Mohd. Kamil memberitahu, terdapat lebih 6,763 usahawan kraf tangan di negara ini dan yang paling ramai adalah dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak kerana kaya dengan hasil buminya.

Mengulas tentang Promosi Kraf Malaysia yang diadakan di Kelantan, beliau berkata, pihaknya menyasarkan jualan RM300,000 di Kraf Batu Dua, Bunut Payong dan RM150,000 (KB Mall).

"Kali ini jualan dan promosi diadakan di dua tempat dan orang ramai boleh memilih sama ada untuk ke pusat beli-belah KB Mall ataupun datang terus ke Batu Dua, Bunut Payung.

"Hal ini kerana harga yang ditawarkan oleh kesemua usahawan terlibat adalah berpatutan dan produknya pelbagai," katanya.

No comments: