Saturday, November 3, 2012

Kementerian bincang ekuiti Bumiputera dalam Carrefour

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan AEON Co Ltd (AEON) tidak lama lagi.  Ia bagi memastikan kedudukan 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak terjejas apabila mereka mengambil alih operasi keseluruhan firma peruncitan Perancis, Carrefour Malaysia. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KementerianbincangekuitiBumiputeradalamCarrefour/Article
Published: November 03, 2012

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pertemuan itu juga membolehkan kerajaan mendapat jaminan syarikat multinasional berpangkalan di Jepun itu berhubung nasib rakyat tempatan yang bekerja di pasar raya besar Carrefour di seluruh negara.

Belum terima maklum balas
Bagaimanapun, Ismail berkata setakat ini kementeriannya masih belum menerima maklum balas atau surat permohonan rasmi daripada AEON untuk mengambil alih sepenuhnya kepentingan dalam Carrefour Malaysia.

“Walaupun, pengambilalihan operasi Carrefour oleh AEON dianggap keputusan perniagaan antara kedua-dua syarikat, tetapi ia masih tertakluk kepada garis panduan di bawah Jawatankuasa Pemborongan dan Pengedaran dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDNKK.

“Malah, kedua-dua syarikat perlu mengikut prosedur dengan memohon kepada kementerian untuk mendapatkan kebenaran menjual (Carrefour) dan kebenaran membeli AEON,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga sempena Deepavali 2012 di Putrajaya, semalam.
Ismail diminta mengulas mengenai pengambilalihan keseluruhan operasi peruncitan Carrefour oleh AEON dengan nilai RM580 juta (JPY15.1 bilion) yang selesai dilaksanakan 31 Oktober lalu.

No comments: