Wednesday, November 14, 2012

Kontraktor bumiputera digesa wujudkan kerjasama bukan jual kontrak untuk cepat untung

RAUB 12 Nov. - Tindakan kontraktor bumiputera menjual kontrak yang dianugerahkan kepada mereka merupakan satu bentuk penderhakaan kerana akan menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor berwibawa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sepatutnya kontraktor bumiputera termasuk yang memegang lesen kelas F bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Melayu, bukannya menjual projek yang bertujuan untuk mencari keuntungan singkat.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121113/wp_05/Kontraktor-bumiputera-digesa-wujudkan-kerjasama-bukan-jual-kontrak-untuk-cepat-untung
Published: November 14, 2012

Katanya, mereka boleh memilih rakan kongsi dalam kalangan kontraktor bukan Melayu bertujuan untuk menambah pengalaman serta mengatasi masalah kekurangan modal.

''Bukan menjadi satu kesalahan untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan bukan Melayu yang bagi saya perkara itu wajar disokong bagi melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berpengalaman dan berdaya saing.

''Langkah tersebut bukan sahaja membolehkan kontraktor terbabit mempelajari selok-belok mengendalikan projek, sebaliknya boleh mengelakkan daripada projek terbengkalai," kata Shahiruddin semasa berucap merasmikan Seminar Kontraktor Melayu Kelas F Bagi Kontraktor Daerah Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis di sini kelmarin.

Menurutnya, ramai dalam kalangan kontraktor yang menjalankan usaha sama dengan rakan kongsi bukan Melayu berjaya mengendalikan projek dan perniagaan masing-masing.

Tambahnya, usaha sama tulen seperti itu berjaya melahirkan ramai kontraktor dan usahawan bumiputera yang berwibawa dan menjadi jutawan apabila mampu melaksanakan projek mega.

"Kita juga perlu belajar daripada kegagalan kerana sekali kita jatuh bukan bererti gagal selama-lamanya, sebaliknya menjadi satu pengajaran untuk kita bangkit semula dan menjadi kontraktor atau usahawan yang berjaya.

''Ramai usahawan yang berjaya hari ini tidak kira orang Melayu atau bukan Melayu pernah mengalami kegagalan tetapi mereka ini bangkit membangunkan semula perniagaan mereka," katanya.

No comments: