Thursday, November 29, 2012

Penuntut digesa bantu penduduk desa

KUALA LIPIS 27 Nov. - Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengikuti bidang kejuruteraan dan industri diminta membantu penduduk luar bandar menerusi inovasi masing-masing bagi merancakkan lagi sektor pertanian dan pembuatan industri kecil.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121128/wp_01/Penuntut-digesa-bantu-penduduk-desa
Published: November 29, 2012


MUSTAPA Long melihat pameran Teknologi Industri dan Kejuruteraan 
penuntut USM selepas melancarkan Program Perdana Lestari Pembangunan 
di Kuala Lipis, baru-baru ini.

Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Mustapa Long berkata, sektor berkenaan mampu berkembang jika ada perkongsian pengetahuan dan kemahiran teknologi dalam kalangan penuntut untuk dicurahkan kepada penduduk berkenaan.

"Penuntut sewajarnya bertindak sebagai ejen perubahan baharu dalam bidang teknologi dan industri di luar bandar sejajar dengan agenda transformasi pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Bidang kejuruteraan dan industri perlu diaplikasikan dalam sektor berkenaan dan boleh merangsang pertumbuhan ekonomi serta membantu penduduk luar bandar, termasuk Orang Asli keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 30 penuntut pengajian Teknologi Industri dan Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) kepada keluarga angkat menerusi Program Perdana Lestari Pembangunan di Kampung Tanjong Jambu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar USM, Prof. Adnan Hussein.

Menurut beliau, pengetahuan dan kepakaran itu bukan sahaja diaplikasikan di bilik kuliah, namun perlu diimplementasi bagi menggerakkan landasan transformasi pembangunan teknologi serta industri berasaskan sektor pertanian di luar bandar.

"Saya berharap usaha membantu penduduk luar bandar dilestarikan secara berterusan bukan hanya separuh jalan supaya setiap projek perlu dipantau dan dibimbing sehingga memperoleh hasil menerusi pasaran produk berkenaan," ujarnya.

Mustapa berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob amat berbangga kerana USM melestarikan pengetahuan dan kepakaran dalam kalangan pensyarah serta penuntut untuk memacu pelbagai projek pertanian di luar bandar negeri ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, USM menghantar sebanyak 400 penuntut dan pensyarah di 13 kampung di Pahang Barat untuk menyertai Program Perdana Lestari Pembangunan.

Jelasnya, program berkenaan merupakan kerjasama antara USM dengan kerajaan negeri, Pejabat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menzahirkan hubungan yang rapat antara institut tersebut dengan pemimpin setempat dan penduduk luar bandar.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan peluang kepada semua IPTA dengan menyediakan pelbagai bantuan untuk melestarikan pembangunan teknologi dan industri bagi mempercepatkan usaha pemodenan kawasan luar bandar sejajar dengan aspirasi Wawasan 2020.

No comments: