Saturday, November 10, 2012

Penyertaan Bumiputera meningkat

Petaling Jaya: Penyertaan syarikat diterajui Bumiputera meningkat lebih dua kali ganda pada Anugerah Enterprise 50 (E50) 2012 dengan 31 syarikat kali ini berbanding 10 syarikat tahun lalu. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penyertaanmeningkat/Article
Published: November 10, 2012

Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group, Murphy Chan Hian Kee (tengah) bersama    Pengarah Urusan Sydney Cake House, Jenny Chuang (kanan) dan  Pengurus Besar Goodnite, Dr Cher Weng Chung menunjukkan anugerah kemenangan masing-masing pada  Anugerah Enterprise 50 (E50) 2012 di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad  
Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group, Murphy Chan Hian Kee (tengah) bersama 
Pengarah Urusan Sydney Cake House, Jenny Chuang (kanan) dan Pengurus Besar 
Goodnite, Dr Cher Weng Chung menunjukkan anugerah kemenangan masing-masing 
pada Anugerah Enterprise 50 (E50) 2012 di Petaling Jaya, malam tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pertambahan Bumiputera sertai E5O bukti perkembangan positif PKS 
Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, berkata peningkatan jumlah penyertaan itu menggambarkan perkembangan positif terhadap kemajuan syarikat milik Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, ia susulan anugerah yang dikhaskan bagi PKS itu menilai calon berdasarkan keupayaan dan kemampuan dari pelbagai sudut.

400 syarikat dinilai
Katanya, pada anugerah kali ini, lebih 400 syarikat yang dinilai di bawah Penarafan Kompetitif PKS untuk Peningkatan (SCORE) dan diberi penarafan nilai empat bintang dan ke atas dijemput untuk mengambil bahagian.

“Kami berharap, lebih banyak syarikat PKS Bumiputera menyertai Anugerah E50 pada masa akan datang,” katanya pada sidang media semalam.
Hadir sama, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Pengarah Eksekutif Deloitte Consulting Malaysia Sdn Bhd, Dr Nordin Zain.

Tempat pertama Anugerah E50 tahun ini menjadi milik Eyecon Group Sdn Bhd, diikuti Sydney Cake House Sdn Bhd dan Goodnite Sdn Bhd yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Anugerah itu disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada satu majlis makan malam di sini, malam tadi.

Anugerah tahunan
E50 adalah anugerah tahunan bertujuan mempromosikan kejayaan syarikat tempatan dianjurkan bersama oleh SME Corp Malaysia and Deloitte dengan sokongan Telekom Malaysia Bhd, RHB Bank Bhd, Media Prima Bhd, Business Times dan Malaysia SME.

Anugerah yang kini memasuki tahun ke-16 itu memberi pengiktirafan kepada 50 syarikat PKS terbaik.

Tahun ini, sektor pembuatan mendominasi senarai penerima anugerah dengan menguasai 40 peratus daripada pencalonan, peningkatan enam peratus daripada 34 peratus tahun lalu.

Penyertaan daripada sektor lain seperti perkhidmatan, penjagaan kesihatan, perundingan dan rekaan dalaman mencatatkan peningkatan 14 peratus kepada 22 peratus daripada lapan peratus tahun lalu, diikuti perkhidmatan profesional dengan dua peratus peningkatan kepada 14 peratus berbanding 12 peratus tahun lalu dan sektor hartanah/pembinaan mencatatkan peningkatan enam peratus kepada 10 peratus daripada empat peratus tahun lalu.

Hafsah berkata, program Anugerah E50 secara berterusan berjaya menarik pencalonan syarikat tempatan dari pelbagai sektor industri yang mana setakat ini 1.673 peserta sudah tersenarai serta mewujudkan alumni yang dianggotai 511 syarikat.

Beliau berkata, fokus Anugerah E50 kali ini untuk memberi pengiktirafan kepada syarikat yang berada pada kedudukan baik pada masa akan datang serta berdaya saing untuk berdepan cabaran keusahawanan peringkat global.

Pemenang Anugerah E50 akan dipaparkan di laman web E50 dan menikmati liputan media dari Business Times, Media Prima dan Malaysia SME.

INFO: Senarai 10 pemenang teratas Anugerah E50 2012
1. Eyecon Group Sdn Bhd
2. Sydney Cake House Sdn Bhd
3. Goodnite Sdn Bhd
4. KFM Holdings Sdn Bhd
5. Sinar Jernih Sdn Bhd
6. Sym World Innovation Sdn Bhd
7. Hyrax Oil Sdn Bhd
8. Magnibridge Sdn Bhd
9. Myagri Eco-Biosciences Sdn Bhd
10. Adtech Malaysia Sdn Bhd

No comments: