Tuesday, January 1, 2013

Industri perkahwinan lumayan

INDUSTRI perkahwinan bukan macam dulu. Ia kini semakin maju, malah untuk menganjurkan satu kenduri pun mencecah puluhan ribu ringgit. “Semua itu adalah peluang perniagaan yang boleh membawa pulangan lumayan dan tidak harus dilepaskan oleh pengusaha-pengusaha produk perkahwinan," katanya pada majlis pelancaran Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, hujung minggu lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130101/ke_01/Industri-perkahwinan-lumayan
Published: January 01, 2013


Pasangan bakal pengantin mengambil kesempatan mendapatkan perunding 
perkahwinan sempena Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan 
Malaysia di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, baru-baru ini. 

Menurut Hamidah, ekspo tersebut yang pertama kali dianjurkan secara bersama antara kerajaan negeri dan akhbar Utusan Malaysia mampu merancakkan lagi industri produk perkahwinan di negara ini.

Ini kerana katanya, dengan menghimpunkan para penggiat industri perkahwinan di bawah satu bumbung, beliau yakin mampu memberi impak dalam mengembangkan lagi potensi industri tersebut.

“Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana membuka peluang kepada pengusaha produk perkahwinan sekitar Ipoh ini membawa perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas.

“Saya juga amat berharap jika acara ini diadakan lagi pada masa depan ia akan disertai oleh lebih ramai peserta dan pengunjung," jelasnya.

Dalam pada itu selepas Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Stadium Indera Mulia, di Ipoh menjadi lokasi kedua Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia.

Ekspo selama tiga hari dari 28 hingga 30 Disember itu berjaya menghimpunkan 60 pengusaha produk perkahwinan daripada katering, pelamin, kad kahwin hinggalah kepada cenderamata dan kanopi yang rata-ratanya beroperasi di Ipoh serta kawasan sekitarnya.
Dengan kehadiran pengunjung yang dikatakan mencecah 25,000, Pengarah Urusan Dios Astana Bridal, Zaidi Osman tidak menolak kemungkinan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan di Ipoh pada masa akan datang.

Katanya, sebagai pengendali ekspo pihak Dios Astana Bridal melihat industri produk perkahwinan mempunyai potensi yang besar di bandar raya tersebut.

“Menerusi pemerhatian kami, di Ipoh amat jarang diadakan ekspo perkahwinan sebegini, justeru apabila ia diadakan kami mendapat maklum balas bahawa ia amat memberi manfaat terutama buat pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Boleh dikatakan majoriti pengusaha butik pengantin mahupun katering di sini baru kali pertama menyertai pameran dan mereka belum faham tentang karakter pengunjung serta apa yang dimahukan.

“Bagaimana pun ia bukanlah menjadi satu masalah kerana kami sebagai pihak pengendali ekspo sentiasa bersedia membantu memberikan ilmu yang sepatutnya.

“Misalnya , para pengusaha katering sepatutnya menyediakan makanan contoh untuk dirasa oleh pengunjung sebagai cara menambat hati agar dapat memeteri urus niaga di situ juga," katanya.

Sebagai pengusaha produk perkahwinan yang berpengalaman, Zaidi percaya melalui strategi pemasaran yang betul seperti dengan menyertai ekspo seperti ini, industri perkahwinan sememangnya memiliki masa depan yang cukup menyakinkan.

Kelebihan itu katanya, harus direbut oleh pengusaha bumiputera memandangkan perkahwinan orang Melayu biasanya lebih berskala besar berbanding bangsa lain.

“Adat perkahwinan orang Melayu melibatkan banyak perkara daripada pelamin, makanan, hantaran hinggalah kepada segala macam bentuk cenderamata.

“Semua itu membuka kepada peluang perniagaan kerana apabila ada permintaan sudah tentu ada penawaran," katanya.

Sementara itu salah seorang peserta Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia, Nur Fatma Zakaria dari Nurul Izzah Catering berkata, ini merupakan penyertaan kedua syarikatnya selepas pameran di Putrajaya.

“Kami mampu menerima tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia kecuali di Terengganu dan Kelantan, jadi kami berharap lebih jauh kami pergi dengan pameran ini maka lebih banyak pendedahan kepada syarikat kami.

“Lebih menarik melalui ekspo ini kami dapat bertemu pelanggan yang berpotensi secara terus," katanya yang mengakui ramai telah merasai kesedapan nasi Arab yang popular daripada Nurul Izzah Catering.

Seorang lagi pengusaha katering, Md Yusof Adam dari Ad Catering and Canopy mengakui merupakan penyertaan pertamanya dalam ekspo sebegini.

“Saya begitu teruja dengan ekspo ini kerana sambutan sangat menggalakkan, insya-Allah saya akan menyertai lagi ekspo akan datang," katanya yang berjaya mendapat beberapa tempahan bagi majli perkahwinan pada 2013.

Sementara itu Zaid Sulaiman dari Zaha Zaha Wedding Planner, juga mengakui ini kali pertama terlibat dalam ekspo yang berskala besar.

Baginya, ia satu strategi pemasaran yang efektif kerana dapat bertemu secara langsung dengan bakal pelanggan.

“Alhamdulillah setakat ini seramai tujuh pelanggan telah menyatakan persetujuan mengambil Zaha Wedding Planner sebagai perunding perkahwinan mereka awal tahun 2013 ini.

“Sebelum ini butik saya dipromosikan dari mulut ke mulut dan promosi hanya tertumpu di kedai sahaja.

“Disebabkan sambutan menggalakkan menerusi ekspo ini saya turut menawarkan hadiah bunga segar percuma kepada pengantin yang menyatakan persetujuan di ekspo ini," kata Zaha yang juga menjadi penaja hiasan pentas sepanjang tiga hari ekspo berlangsung.

Pengurus Butik Pengantin Hafiqa, Nor Zaitul Akmar Norazami percaya, ekspo perkahwinan sebegini mampu memberi impak positif pada perniagaannya.

“Butik saya baru saja dibuka sebulan lalu, pameran ini memberikan lebih pendedahan kepada ramai orang tentang butik saya.

“Rasa teruja dan sedikit gementar kerana kali pertama berhadapan dengan lebih ramai pelanggan pada satu masa," katanya.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Nor Amylia Burhanuddin, 27, yang hadir bersama tunangnya, Azrin Azman, 29, berkata, pameran ini amat menyenangkan mereka yang masih mencari kelengkapan pengantin.

“Ini kali kedua saya ke ekspo perkahwinan, kali pertama di PICC saya pergi dan saya dapati ia amat menyenangkan kami tanpa perlu ke satu satu kedai yang mengambil masa lebih lama serta memenatkan, terima kasih kepada pihak penganjur," ujarnya.

Sementara itu selain gerai jualan dan pameran, ekspo turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan termasuk pertandingan pelbagai gubahan, demonstrasi pemakaian tudung dan solekan, persembahan kumpulan marhaban dan persembahan artis popular.

Ia turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah oleh pihak penganjur.

Ekspo seterusnya akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 18 hingga 20 Januari ini.

No comments: