Saturday, November 10, 2012

SME Corp Gesa PKS Bumiputera Ceburi Pasaran Global

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- SME Corp Malaysia menggesa agar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera menembusi pasaran global berikutan kebolehlihatan keupayaan mereka dalam pasaran domestik.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=708299
Published: November 10, 2012

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata syarikat-syarikat Bumiputera yang menyertai anugerah E50 tahun ini telah mencapai penarafan empat bintang.

"Mereka dinilai dengan baik oleh Deloitte Malaysia. Mereka telah menjalani proses yang ketat untuk memastikan yang syarikat-syarikat Bumiputera ini ialah syarikat terbaik.

"Kami ingin lihat syarikat-syarikat Bumiputera mengambil peluang ini dan merebut pasaran dunia kerana mereka kini lebih terserlah dengan keupayaan mereka," kata Hafsah kepada pemberita selepas mengumumkan para pemenang Anugerah E50 tahunan SME Corp.

Tahun ini, penyertaan dalam E50 ialah secara jemputan. Lebih 400 syarikat telah dinilai di bawah program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) dan mereka yang mendapat penarafan empat bintang dan ke atas dipelawa untuk turut serta.

Fokus tahun ini ialah memberikan pengiktirafan yang lebih hebat kepada syarikat-syarikat yang telah bersedia untuk masa depan, berdaya saing dan berdaya tahan, boleh berhadapan dengan cabaran global dalam semangat keusahawanan yang sebenar.

SME Corp menjangka lebih banyak PKS Bumiputera menyertai anugerah E50 di masa akan datang, kata Hafsah.

Syarikat-syarikat yang digerakkan oleh Bumiputera mencatatkan lonjakan 210 peratus dalam penyertaan mereka kepada 31 syarikat pada tahun 2012 daripada 10 syarikat tahun sebelumnya.

Hafsah berkata sebahagian besar PKS di Malaysia adalah berorientasikan domestik.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Deloitte Malaysia, Dr Nordin Zain berkata yang pasaran global tidak seharusnya menghalang perkembangan perusahaan ini.

"Saya amat yakin meskipun pada hakikatnya terdapat banyak cabaran dalam pasaran seberang laut. Cara pengurusan yang syarikat-syarikat ini telah tunjukkan kepada kami menunjukkan yang mereka telah bersedia untuk ke seberang laut dan bersaing antarabangsa," kata beliau.

Penyertaan dalam E50 tahun ini dikuasai oleh sektor pembuatan, menguasai 40 peratus pencalonan, meningkat daripada 34 peratus tahun lepas.

Pencalonan daripada sektor-sektor lain seperti perkhidmatan, penjagaan kesihatan, perundingan dan reka hias dalaman mengukuh kepada 22 peratus daripada lapan peratus tahun lepas, diikuti dengan perkhidmatan profesional pada 14 peratus, naik daripada 12 peratus tahun lepas, hartanah/pembinaan pada 10 peratus berbanding empat peratus sebelumnya.

Acara ini dianjurkan bersama SME Corp Malaysia dan Deloitte Malaysia, dengan sokongan RHB Bank Bhd, TM Berhad, Business Times, Media Prima Bhd dan Malaysia SME.

Anugerah itu yang menandakan kecemerlangan keusahawanan, telah ditubuhkan pada 1996, dan telah mengiktiraf 50 PKS terbaik di dalam negara.

Setakat ini, ia telah berjaya menarik 1,673 penyertaan dan menubuhkan alumni 511 syarikat.

"Dengan pengiktarafan ini, 40 syarikat telahpun disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia sementara 12 di Pasaran ACE," kata kenyataan bersama daripada SME Corp dan Deloitte Malaysia.

-- BERNAMA

No comments: