Monday, November 5, 2012

Makanan Malaysia popular di Paris

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Syarikat-syarikat Malaysia berjaya menghasilkan jualan sebanyak RM78 juta dan mengadakan 3,355 pertemuan perniagaan pada pameran makanan The Salon International de l'Alimentation (SIAL) yang diadakan di Paris, baru-baru ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121105/ek_05/Makanan-Malaysia-popular-di-Paris
Published: November 05, 2012

SIAL dianjurkan dua tahun sekali dan merupakan pameran makanan terbesar di dunia dengan pameran dan persidangan tertumpu kepada menghadapi cabaran dalam industri makanan.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan di sini menyatakan, sebanyak 30 buah syarikat Malaysia telah menyertai pameran tersebut.

Jelas kenyataan itu, penyertaan syarikat-syarikat dari negara ini bertujuan mempromosi produk-produk makanan tempatan kepada pasaran antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan sebagai pengeksport produk halal utama dunia.

Malah, SIAL turut memberi pendedahan dalam aspek permintaan dalam industri makanan, peraturan baharu, trend dan inovasi yang dijalankan dalam industri makanan dunia.

"SIAL 2012 telah mengundang penyertaan sebanyak 5,900 peserta pameran dari 100 buah negara dengan 140,000 pengunjung profesional dari 200 buah negara.

"Pameran itu turut mendapat liputan daripada 1,500 aktivis media dari 42 buah negara," ujar kenyataan tersebut.

Jelas MATRADE, syarikat-syarikat Malaysia telah mempamerkan produk-produk makanan yang telah diproses, makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, minyak-minyak masakan, snek dan produk dalam bungkusan, rempah ratus serta banyak lagi.

Katanya, turut diadakan di pavilion Malaysia pada pameran itu adalah demonstrasi masakan.

"Seminar juga dianjurkan oleh pihak penganjur dan terdapat sesi dialog yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan MATRADE Paris," ujarnya.

Turut menyertai pameran SIAL adalah 60 peserta dari rangkaian pasar raya besar, persatuan dan pemain industri dan perunding dan media dari Perancis, Belanda dan Belgium.

No comments: