Sunday, November 4, 2012

Ikhlas sasar 5,000 ahli di Sarawak

KOTA SAMARAHAN 3 Nov. - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya 5,000 ahli di negeri ini menjelang awal tahun depan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121104/wb_01/Ikhlas-sasar-5000-ahli-di-Sarawak
Published: November 04, 2012

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, ketika ini, jumlah usahawan serta peniaga kecil Sarawak yang mendaftar sebagai ahli pertubuhan berkenaan telah mencecah lebih 200 orang.

"Ikhlas sebenarnya masih baru di Sarawak, jadi ramai golongan peniaga dan usahawan belum mengetahui apa itu Ikhlas serta peranan kita dalam membantu mereka.

"Barisan jawatankuasa Ikhlas peringkat negeri sedang dibentuk dan insya-Allah, dengan pembentukan jawatankuasa ini, kita dapat menyelaraskan pelbagai program bagi menambah keahlian sehingga 5,000 ke 7,000 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri program 'Hari Bersama Presiden Ikhlas' melibatkan kira-kira 50 ahli Ikhlas Cawangan Kota Samarahan di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ikhlas turut memberi sumbangan berupa wang tunai, apron dan topi 1Malaysia kepada peniaga kecil di sekitar Pangkalan Feri Samarahan.

Mohd. Ridzuan dalam pada itu berkata, pihaknya kini mencari inisiatif bagi membantu pemilik gerai di situ yang terjejas akibat kebakaran dua tahun lalu termasuk memohon bantuan daripada kerajaan negeri.

Pada masa sama kata beliau, pihaknya sedang mengenal pasti masalah yang sering dihadapi peniaga kecil dan sederhana di Sarawak menerusi program turun padang serta pengedaran borang kaji selidik sebelum mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu mereka.

Sementara itu, wakil Ikhlas cawangan Kota Samarahan, Junaidi Kaderi yakin sasaran penambahan ahli berkenaan dapat dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima sejak Ikhlas ditubuhkan di kawasan ini beberapa bulan lalu.

Katanya, mana-mana usahawan atau peniaga kecil di negeri ini yang ingin menjadi ahli atau berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai Ikhlas boleh menghubungi beliau di talian 013-8139332 atau melayari laman web www.ikhlasmalaysia.com.

No comments: