Thursday, November 8, 2012

Kontraktor F elak sikap tamak

TEMERLOH 7 Nov. - Kontraktor bumiputera kelas F perlu membuang sikap tamak dan mementingkan keuntungan tanpa mengikut spesifikasi serta kualiti kerja kerana boleh menyebabkan mereka gagal dalam perniagaan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121108/wp_01/Kontraktor-F-elak-sikap-tamak
Published: November 08, 2012

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, golongan itu juga perlu amanah dan bijak menguruskan projek jika mahu berjaya serta bersaing dengan kontraktor yang lebih maju dan berjaya.

Jelasnya, sikap tidak peka dalam melaksanakan sesuatu projek dengan menggunakan bahan serta kurang berkualiti bukan sahaja boleh menyebabkan kontraktor disenarai hitam tetapi membawa kesan kepada pembeli.

''Cara itu secara tidak langsung merugikan mereka sendiri apabila tidak lagi mendapat projek baru jika dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

''Kontraktor jangan terlalu taksub dan tamak, tetapi perlu menggalas tanggungjawab dengan menjalankan kerja projek mengikut arahan sebenar serta bersikap jujur," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan kursus pembinaan kepada 100 kontraktor Melayu kelas F anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Mentakab, di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, para kontraktor bumiputera perlu menjauhi perbuatan yang boleh menyebabkan mereka muflis kerana akan menyebabkan satu kerugian kepada golongan itu.

Katanya, sekiranya sikap tanggungjawab dan melaksanakan kerja mengikut spesifikasi yang betul, jabatan kerajaan atau agensinya akan menyerahkan projek baru kepada mereka.

Mohd. Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, kerajaan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada kontraktor bumiputera kelas tersebut terutamanya projek bernilai berbilion ringgit di bawah kendalian Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

''Projek tersebut bukan sahaja bagi membangunkan negeri dan kawasan malah memberi peluang pekerjaan kepada golongan itu supaya tidak hilang punca pendapatan.

''Walaupun terdapat lebih 40,000 kontraktor berdaftar di negara ini, kerajaan terus memberikan pembelaan dengan menyediakan pelbagai projek melalui jabatan dan agensinya supaya mereka mendapat projek tersebut," ujarnya.

No comments: