Saturday, November 10, 2012

Eyecon Dahului Senarai Anugerah E50 2012 SME Corp

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Penyedia perlengkapan optik, Eyecon Group Sdn Bhd hari ini mendahului senarai Anugerah E50 tahunan 2012 SME Corp Malaysia, yang memberikan pengiktirafan kepada 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik di Malaysia.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=708419
Published: November 10, 2012

Turut berada dalam senarai terbaik itu ialah syarikat pengeluar makanan dingin beku Sydney Cake House Sdn Bhd yang berada di tempat kedua dan pengeluar tilam dan katil, Goodnight Sdn Bhd di tempat ketiga.

Anugerah E50, menandakan kecemerlangan keusahawanan dan telah menarik sejumlah 1,673 penyertaan dan mewujudkan alumni 511 syarikat setakat ini, turut menempatkan syarikat perkhidmatan pengurusan kemudahan, KFM Holdings Sdn Bhd dan penyedia perkhidmatan pengurusan aset, Sinar Jernih Sdn Bhd antara 10 syarikat terkemuka dalam senarai itu.

Rakan Pengurusan Negara Deloitte Malaysia Sdn Bhd, Tan Theng Hooi berkata, terdapatnya peningkatan dalam kesedaran, pemahaman dan inisiatif di kalangan syarikat untuk memacu strategi penjenamaan masing-masing.

Tan berkata para pemenang dirangsang oleh strategi penjenamaan yang jelas dengan pemahaman mendalam nilai jenama mereka.

"Dengan kejelasan nilai jenama masing-masing, para pemenang telah berjaya mempromosikan perbezaan jenama menerusi promosi aktif dan inisiatif penjenamaan," kata beliau dalam ucapannya semasa berlangsungnya majlis itu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Setiap pemenang menerima trofi dan sijil dan juga dicalonkan secara automatik untuk Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Produktiviti Negara.

Tan berkata industri pembuatan mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 38 peratus dan separuh daripada 10 pemenang utama.

"Satu pemerhatian yang menarik ialah peningkatan dalam pencalonan yang diterima daripada industri perkhidmatan yang telah meningkat daripada dua peratus tahun lepas kepada 25 peratus tahun ini dan ada antara mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Dari segi pecahan geografi, Selangor dan Wilayah Persekutuan menguasai penyertaan tertinggi dengan 79 peratus daripada jumlah pencalonan yang diterima tahun ini.

Sementara itu, dalam mengharungi keadaan sukar ekonomi, Tan berkata tiga tindakan penting yang diambil oleh para pemenang ialah pengurusan cekap dari segi kos, membahagikan segmen pengguna untuk pemahaman yang lebih baik atas keperluan dan jangkaan mereka dan fokus kepada pelaburan yang memberikan pulangan yang tinggi.

Dalam pada itu, Tan berkata yang Deloitte telah bekerjasama dengan SME Corp dalam menggerakkan program anugerah E50 dengan menyediakan sokongan teknikal akhir-ke-akhir, daripada pelancaran program sehinggalah kepada memuktamadkan 50 para pemenang berkenaan.

Ia turut menyediakan analisis terperinci dan penilaian terhadap 10 pemenang utama.

"Analisis dan penilaian ini akan menyediakan bimbingan untuk para pemenang agar dapat menguruskan dengan baik perniagaan mereka dan merancakkan sumbangan mereka ke arah pertumbuhan ekonomi negara," kata beliau dalam satu kenyataan.

Majlis itu dianjurkan bersama SME Corp Malaysia dan Deloitte Malaysia, dengan sokongan rakan-rakan niaga seperti RHB Bank Bhd, TM Bhd, Business Times, Media Prima Bhd dan Malaysia SME.

Turut sama hadir pada majlis itu ialah pengerusi SME Corp, Datuk Ir. Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

-- BERNAMA 

No comments: