Saturday, November 3, 2012

RM2.7j bagi program usahawan kecil dinamik

KEPALA BATAS 2 Nov. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM2.7 juta bagi program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) di seluruh negeri sehingga Oktober tahun ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121103/wu_02/RM27j-bagi-program-usahawan-kecil-dinamik
Published: November 03, 2012

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bersama pelatih-pelatih selepas 
majlis Perasmian Penutup Seminar Keusahawanan Kerjaya Pilihan Pelatih 
GiatMara Pulau Pinang di Kepala Batas, semalam.

Pengarah Mara negeri, Yahaya Sani berkata, seramai 491 usahawan telah mendapat manfaat daripada program itu dengan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mempunyai penerima tertinggi iaitu seramai 188 orang.

Menurutnya, Mara negeri menerima peruntukan sebanyak RM18 juta pada tahun ini bagi membangunkan aktiviti keusahawanan termasuk RM11 juta bagi pembiayaan perniagaan serta skim jaminan usahawan Mara.

"Kita berasa bangga kerana ramai usahawan kecil mendapat manfaat daripada pinjaman melalui program UK Dinamik iaitu maksimum RM10,000 yang perlu dibayar balik dalam masa dua tahun serta tidak dikenakan faedah.

"Sehingga kini kadar bayaran balik pinjaman juga amat memberansangkan dan ia terbukti memberi manfaat kepada ramai usahawan kecil yang memerlukan bantuan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Seminar Keusahawanan Kerjaya Pilihan Pelatih Giat Mara Pulau Pinang (zon Seberang Perai) di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seramai 360 pelatih daripada lapan GiatMara menyertai seminar sehari itu yang memberi pendedahan kepada aspek keusahawan yang boleh diceburi mereka selepas tamat pengajian nanti.

Selain itu, seramai empat kontraktor juga menerima peruntukan sebanyak RM580,000 di bawah Skim Pembiayaan Kontraktor Kecil (Spike) pada majlis tersebut.

Sementara itu, Reezal berkata, usaha untuk membina generasi muda di negara ini adalah berterusan dan kerajaan tetap meneruskan kelangsungan mereka bagi membantu generasi itu.

"Apa yang dilakukan oleh Mara amat relevan dalam usaha membina generasi muda yang mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi kerana ia amat penting dalam membangunkan sesebuah negara.
"Selain itu kursus keusahawan ini akan membuka minda mereka untuk berniaga sendiri dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan atau bekerja makan gaji semata-mata," ujarnya.

No comments: