Friday, November 2, 2012

Tiga gergasi digital cari usahawan jadi ikon global

Tiga gergasi pemacu industri digital negara iaitu Multimedia Development Corporation (MDeC), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan StartupMalaysia.org bekerjasama mencari lima usahawan digital tempatan baru yang akan dibangunkan menjadi ikon global.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tigagergasidigitalcariusahawanjadiikonglobal/Article
Published: November 02, 2012

Bagi tujuan itu, ketiga-tiga entiti terbabit melancarkan Digital Malaysia Corporate Accelerator Programe (DM CAP), program pemacu korporat pertama negara dengan fokus mewujudkan syarikat digital baru setanding taraf syarikat di Silicon Valley.

Menerusinya, TM akan menyediakan akses pemasaran, panduan berkaitan industri dan permintaan pasaran; MDeC menyediakan platform membangunkan usahawan di gital terbabit; manakala StartupMalaysia.org pula bertindak sebagai mentor berdasarkan kepakarannya pada peringkat global.

Pilih 100 usahawan baru
Seramai 100 usahawan baru akan dipilih bagi pusingan pertama namun hanya lima penyelesaian digital terbaik akan ke peringkat akhir yang dipilih sejajar dengan keperluan perniagaan TM.

Ia kemudiannya akan dikembangkan menerusi program pemacu selama tiga bulan di bawah bimbingan mentor bertaraf global di MSC Malaysia Technology Commercialisation Centre atau pusat inkubator di Cyberjaya.

Ketua Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata DM CAP adalah inisiatif baru Blue Lane Programme (BLP) yang mana pihaknya berharap peserta program dapat memperoleh manfaat daripada bimbingan, persidangan dan sesi rangkaian disediakan.
Katanya, pihaknya juga sedia menerapkan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan itu untuk ditawarkan kepada pelanggannya selain menyediakan akses ke peringkat global menerusi rakan niaganya sebagai lonjakan kepada usahawan terbabit.

“Sebagai peneraju pasaran bagi pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kami percaya mampu memberikan manfaat besar kepada lima penyelesaian terbaik yang bakal dipilih menerusi program ini nanti,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali; dan Pengasas StartupMalaysia.org, Dash Dhakshinamoorthy.

Sementara itu, Badlisham berkata, program itu dibangunkan sebagai perintis kepada program Digital Accelerator berskala lebih besar yang dirancang dilancarkan pada tahun depan.

Katanya, matlamat jangka panjang bagi program ini untuk membangunkan saluran yang efektif bagi memangkin menghasilkan 4,000 usahawan digital menjelang 2020 menerusi kerjasama dengan mentor pada peringkat global.

“Selepas ini kami mungkin akan bekerjasama dengan peneraju bagi industri yang lain pula bagi menggalakkan penyertaan usahawan digital ini dalam industri berimpak tinggi seperti di bawah Projek Permulaan (EPP),” katanya.

No comments: