Thursday, November 8, 2012

PUsH Sasar Wujud Tiga Syarikat Gergasi ICT Bumiputera Menjelang 2015, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Program Inisiatif Pemangkin Usahawan (PUsh) akan menjadi platform untuk membantu meningkatkan prestasi usahawan dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=707774
Published: November 08, 2012

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/push-sasar-wujud-3-syarikat-gergasi-ict-bumiputera-1.101813
Published: November 08, 2012

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121108/dn_01/PUsh-sasar-ICT-bumiputera
Published: November 08, 2012

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PUsHrealisasi3gergasiICT/Article/
Published: November 08, 2012

Najib Tun Razak
 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak


Beliau berkata sasaran utama adalah untuk mewujudkan tiga syarikat gergasi ICT Bumiputera di peringkat global menjelang 2015.

Inisiatif ini akan memberi tumpuan ke arah membangunkan 40 peratus syarikat ICT Bumiputera yang mencatatkan perolehan terendah supaya mereka lebih berdaya maju di arena antarabangsa, kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa melancarkan inisiatif itu di sini.

Inisiatif PUsh yang dilaksanakan oleh Yayasan Usahawan Baru dengan kerjasama Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia serta agensi pelaksana lain akan turut membantu meningkatkan kedudukan usahawan kecil dan sederhana khususnya yang mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan.

"Program ini terbuka kepada semua teknokrat Bumiputera Malaysia, dan membabitkan kerjasama beberapa agensi seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), TERAJU, Malaysia Venture Capital (MAVCAP), Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," kata Najib.

Turut hadir Ketua Eksekutif MDeC Datuk Badlisham Ghazali.

Menurut Najib, inisiatif berkenaan akan membabitkan pelaksanaan 14 program latihan atau bimbingan mulai Disember 2012.

Antara program kritikal dalam inisiatif PUsh ialah program penggabungan dan pengambilalihan syarikat ICT kecil dan sederhana yang membabitkan agensi kerajaan, MAVCAP.

Selain dana awal sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2013, Najib berkata bagi menjayakan program-program ini, MAVCAP akan memperuntukkan dana berjumlah RM30 juta bagi melaksanakan program penggabungan syarikat-syarikat ICT dan Kreatif yang bersaiz sederhana dan kecil di bawah inisiatif PUsh ini.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan hala tuju Bumiputera yang bertujuan menggariskan strategi khusus untuk membangunkan Bumiputera dalam sektor perindustrian.

"Hari ini, kita memperhebatkan lagi arus transformasi Bumiputera dengan memperkenalkan inisiatif PUsh, khusus untuk usahawan bumiputera dalam sektor ICT.

"Saya yakin dengan gabungan agensi kerajaan serta pihak industri yang diketuai oleh Yayasan Usahawan Baru dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia, usaha murni ini pasti akan mencapai matlamatnya.

"Saya menyeru agar agensi kerajaan yang lain, untuk menyahut 'jemputan' Yayasan bagi menyertai inisiatif PUsh ini, dengan matlamat memperkasakan pegangan ekuiti Bumiputera dalam struktur ekonomi negara," kata Najib.

Pengerusi Yayasan Usahawan Baru Ashran Ghazi berkata inisiatif PUsh lahir berikutan rintihan usahawan ICT dan Kreatif negara dalam satu sesi dialog yang dianjurkan bersama MSC Malaysia dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia bersama Perdana Menteri pada Jun 2012.

Menerusi inisiatif ini, Yayasan Usahawan Baru dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia akan menjadi 'jambatan' di antara usahawan ICT dan Kreatif Bumiputera dengan program-program latihan dan bimbingan kendalian pelbagai agensi kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: