Thursday, February 13, 2014

Biaya 17 koperasi

Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya Angkasa) dijangka menyediakan pembiayaan RM70 juta kepada ahli Angkasa yang ingin menjalankan perniagaan pada tahun ini.

Source from (Bernama): http://www.hmetro.com.my/articles/Biaya17koperasi/Article
Published: August 02, 2013

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah pembiayaan itu adalah jauh lebih tinggi daripada dana pada tahun lalu iaitu RM20 juta membabitkan pembiayaan kepada 17 koperasi seluruh negara.

“Peningkatan peruntukan ini adalah bertujuan memberi lebih peluang kepada ahli koperasi menjana pendapatan melalui pelbagai bidang perniagaan termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya pada majlis lawatan kerja di Koperasi Buddhisme Malaysia Berhad (Kobud) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kopsya Angkasa, Datuk Dr Mohamad Ali Baharum; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi Kobud, Aw Kim Fatt.

Beliau berkata, Kobud adalah koperasi pertama Malaysia yang menjalankan perniagaan berasaskan tenaga solar melalui pembiayaan bernilai RM150,000.

“Projek perintis Kopsya Angkasa ini dilihat berpotensi dalam menjana pendapatan ahli koperasi dan mampu memberikan pulangan pelaburan dalam tempoh jangka panjang.

“Melalui perniagaan ini, Kobud akan menghasilkan tenaga solar untuk dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kadar RM1.20 per kilowatt di mana sehingga kini mereka berjaya menjana pendapatan purata sebanyak RM600 sebulan,” katanya.

Abdul Fattah berkata, beliau menyeru ahli Angkasa memohon pembiayaan itu bagi menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh diperbaharui yang kini turut disenaraikan dalam jenis perniagaan yang dibiayai koperasi terbabit.

“Kopsya Angkasa adalah koperasi pertama Malaysia yang menawarkan pembiayaan bagi perniagaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Kopsya adalah entiti Angkasa yang menyediakan perkhidmatan berkaitan kewangan Islam dan pembiayaan kepada ahli-ahli Angkasa yang melakukan pembelian saham dalam koperasi terbabit.

No comments: