Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121101/wb_03/Menjahit-mampu-jana-rezeki-lumayan
Published: November 01, 2012
Mereka merupakan pereka fesyen terkemuka dalam industri berkenaan di negara ini.
Di luar negara pula, siapa tidak mengenali anak jati Kelantan, Zhang Toi yang mengukir kejayaan besar di New York, Amerika Syarikat (AS), sebaris dengan pereka tersohor seperti Michael Cors.
Sehubungan itu, tidak hairanlah jika penganjuran latihan dan kursus seni kreatif jahitan, peserta lelaki turut berlumba-lumba untuk menyertainya dan bukan lagi menjadi penyertaan mutlak golongan wanita seperti sebelum ini.
Perkara ini diakui sendiri oleh peserta Program 1Azam Kursus Kemahiran Seni Kreatif (Jahitan) iaitu Tuhing Tehing, 22, dari daerah Kota Marudu.
Dia merupakan seorang daripada dua peserta lelaki yang mengikuti kursus berkenaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah selama tiga bulan bermula 4 Julai lalu di Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK).
"Selepas menamatkan kursus ini, saya akan memulakan perniagaan kecil-kecilan terlebih dahulu di rumah kerana untuk membuka kedai, memerlukan modal kewangan agak besar. Setelah berjaya nanti, barulah saya buka kedai jahit sendiri," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tuhing berkata, bidang jahitan memerlukan kreativiti dan kemahiran seni yang tinggi agar hasil kerja mereka dapat menepati cita rasa dan kehendak pelanggan.
Dia mendakwa, dalam hal itu golongan lelaki mempunyai sedikit kelebihan dalam menghasilkan rekaan fesyen termasuk koleksi pakaian untuk wanita.
"Kebanyakan rekaan fesyen baju termasuklah kasut terkenal pada masa ini mendapat sentuhan pereka lelaki. Tidak usah pergi jauh. Dalam negara kita sendiri ramai pereka fesyen dalam kalangan lelaki.
"Saya melihat kejayaan mereka ini satu dorongan untuk menceburi bidang seni kreatif jahitan. Saya memang meminati seni dan kursus ini memberikan saya peluang mengasah kemahiran seni jahitan dengan lebih mendalam," ujarnya.
Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menambah, dia menyertai Program 1Azam berkenaan setelah diperkenalkan oleh kakaknya yang sebelum ini pernah mengikuti kursus berkenaan.
Peserta kursus terdiri daripada mereka yang tersenarai dalam e-Kasih dan akan didedahkan dengan kemahiran membuat pelbagai jenis pakaian sepanjang menyertai kursus itu.
Seorang lagi peserta, Shairun Nujsar Nujum, 17, berkata, bidang seni kreatif jahitan tidak harus dianggap satu kerjaya sampingan lagi, kerana memberikan sumber pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
"Jika dilihat kejayaan pereka-pereka fesyen lelaki masa kini, mereka lebih menonjol berbanding wanita. Ini memberi dorongan kepada kaum lelaki untuk menceburi bidang jahitan," katanya.
No comments:
Post a Comment