KINABALU 18 Nov. - Penglibatan golongan bumiputera Islam khususnya di
negeri ini dalam pasaran makanan halal masih kurang, sebaliknya golongan
bukan Islam dilihat lebih serius menceburkan diri dalam bidang itu.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun
Sakaran mengesa seluruh umat Islam merebut peluang pasaran makanan halal
negara yang dianggarkan mencecah RM190 bilion setahun.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121119/wb_07/Bumiputera-Islam-digesa-sertai-pasaran-makanan-halal
Published: November 19, 2012
Nasrun Datu Mansur (kiri) melawat sebuah gerai pameran perubatan tradisional
pada pameran Industri Halal Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
"Ramai yang agak skeptik dengan angka tersebut, namun jika setiap penduduk Malaysia beragama Islam yang berjumlah 17 juta orang mengeluarkan RM10 sehari untuk makanan, maka pasaran yang tersedia sudah mencecah lebih RM60 bilion setahun.
"Ini belum termasuk makanan yang diambil oleh pelancong, untuk kegunaan industri dan sebagainya," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pameran Industri Halal Antarabangsa Sabah di sini kelmarin.
Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nasrun Datu Mansur.
Menurutnya, industri makanan halal turut berpotensi diperluaskan ke luar negara kerana pasaran makanan halal dunia pada masa ini mencecah RM2.3 trilion.
Tambahnya, dengan pertambahan penduduk dunia yang semakin meningkat, industri makanan halal sudah menjadi satu kemestian.
"Ini merupakan satu perkembangan menarik bagi penganut Islam yang dijangka bertambah bilangannya kepada lebih 8.3 bilion pada tahun 2030 meliputi 79 buah negara.
"Namun dengan kadar pertumbuhan penduduk muslim sedunia yang dianggarkan pada 2.2 peratus setahun, kini angka tersebut mungkin akan dicapai lebih cepat lagi," katanya.
Sementara itu beliau berkata, meskipun pelbagai bantuan telah diberikan kerajaan, lebih banyak dana perlu disalurkan ke dalam industri itu dari semasa ke semasa.
Tambahnya, selain itu para usahawan juga perlu lebih serius dan menunjukkan kesungguhan untuk memenuhi keperluan dan syarat mendapat sijil halal.
Dalam pada itu beliau berkata, Sabah sudah bersedia memainkan peranannya sebagai Hab Halal Global menjelang 2020.
Ujarnya, pada masa ini kerajaan negeri sedang giat membangunkan tanah seluas 184 hektar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu Sepanggar sebagai kawasan hab halal.
No comments:
Post a Comment