SANDAKAN, 21 Nov (Bernama) -- Berbekalkan model pinjaman dari Amanah
Akhtiar Malaysia (AIM), Yanong Frozen Food yang mengeluarkan produk
bebola daging ingin meluaskan lagi pasarannya ke seluruh negeri ini.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=710486
Published: November 22, 2012
Syarikat tersebut, yang tergolong di bawah Industri Kecil dan Sederhana,
diusahakan oleh Yanong Latuka, 57, dan beroperasi di Kampung Paris
Kinabatangan.
Ibu kepada tujuh anak itu memulakan operasi syarikatnya pada 2009
dengan modal RM20,000 daripada AIM dan kini mempunyai sembilan pekerja.
Yanong berkata selain mengeluarkan produk bebola daging, syarikatnya
kini sudah menambah produk lain iaitu sos cili, sos tomato dan sos kicap
pedas.
Kataya, pada masa sekarang, produk syarikat itu dipasarkan di beberapa
kedai dan pusat membeli belah di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu dan
Kota Kinabalu.
Menurutnya penghantaran produk dilakukan sendiri oleh syarikatnya dan
dengan bantuan pemborong terutama untuk pasaran di daerah ini.
"Produk yang dihasilkan mendapatkan sambutan menggalakkan dan
pendapatan syarikat pada masa sekarang antara RM7,000 hingga RM10,000
sebulan," katanya kepada Bernama di sini.
Yanong berkata pada masa sekarang, syarikatnya di dalam proses
mendapatkan sijil Halal bagi membolehkan produk syarikat itu dipasarkan
ke Brunei Darussalam dan Arab Saudi.
Sehubungan itu, katanya, syarikatnya kini dalam proses memenuhi syarat
untuk mendapatkan sijil halal dan meningkatkan kualiti pembungkusan
produk.
Beliau berkata pihaknya menumpukan perniagaan berasaskan bebola daging
disebabkan tidak banyak syarikat tempatan yang mengeluarkan produk itu
di Sabah terutama di kawasan pantai timur.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment