Wednesday, November 7, 2012

22 produk Malaysia miliki GI

KUCHING 6 Nov. - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerima sebanyak 39 permohonan daripada pengusaha tempatan untuk mendaftarkan produk masing-masing di bawah Petunjuk Geografi (GI) sejak komponen perlindungan harta intelek itu diperkenalkan di negara ini pada 2003.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121107/ek_04/22-produk-Malaysia-miliki-GI
Published: November 07, 2012

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22 produk yang kebanyakannya berasal dari Sabah dan Sarawak telah diluluskan serta didaftarkan di bawah komponen tersebut.

"Antara produk dari negeri ini yang telah didaftarkan ialah Lada Sarawak, Beras Bario, Pokok Medang Sarawak, Kek Lapis Sarawak, Beras Biris Sarawak, Beras Bajong Sarawak, Dabai Sarawak dan Terung Asam Sarawak.

"Sementara itu, beberapa produk Sarawak yang lain turut dikenal pasti berpotensi untuk didaftarkan di bawah GI ialah Batik Sarawak, Belacan Miri, kayu jerangau, gula apong dan tebaloi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar GI Kebangsaan yang turut dihadiri Ketua Pendaftar Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), Matthijs Gauze, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Azizan Mohamad Sidin.
Seminar tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama MyIPO dan WIPO berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, Azizan dalam sidang akhbar memberitahu, MyIPO sedang bekerjasama dengan pihak kementerian untuk meneliti Akta Petunjuk Geografi 2000 sebelum mengemukakan cadangan supaya akta tersebut dipinda bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

"Setakat ini, kami belum menerima sebarang kes atau pertikaian berkaitan GI namun sekiranya ada pemilik atau pengguna ingin membuat sebarang aduan, mereka boleh berhubung dengan wakil daripada kementerian atau MyIPO.

"Selain Akta Petunjuk Geografi 2000, kes-kes berkaitan GI pada masa ini turut disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

No comments: